Jangan sambil lewa, tanpa sistem pengudaraan betul di bahagian loteng, boleh jejas keselesaan, keselamatan isi rumah


  • Hias
  • Khamis, 19 Jun 2025

Tanpa sistem pengudaraan loteng yang betul, bahagian dalam rumah mungkin sedang rosak tanpa disedari.

APABILA kita bercakap tentang dekorasi rumah, fokus utama selalunya diberikan kepada ruang tamu, dapur, atau bilik tidur.

Jarang sekali kita memberikan perhatian kepada ruang tersembunyi di atas siling iaitu loteng atau ruang atap yang sebenarnya memainkan peranan besar dalam menentukan keselesaan dan ketahanan rumah.

Ramai tidak tahu bahawa udara panas dan lembap daripada aktiviti harian seperti mandi, memasak dan mencuci boleh naik ke atas sekali gus berkumpul di loteng.

BACA LAGI: Kawasan bandar baharu di pinggiran Lembah Klang, akses pengangkutan awam jadi keutamaan pembeli

BACA LAGI: Sentuhan warna vibrant, kayu unik penyeri ruang rumah Norsyela

Tanpa pengudaraan yang betul, udara itu tidak ada jalan keluar lalu membawa kepada pembentukan wap air di bawah bumbung.

Kesan daripada wap air itu bukan sekadar titisan air di siling, malah ia boleh mencetuskan pertumbuhan kulat, merosakkan struktur kayu dan menjejaskan kesihatan penghuni rumah.

Bayangkan anda sedang bersiap untuk makan malam bersama keluarga dan tiba-tiba ayam panggang kegemaran menjadi basah akibat titisan air dari siling.

Situasi itu bukan sahaja merosakkan selera, malah menunjukkan tanda-tanda awal masalah pengudaraan loteng yang serius.

Lebih parah, titisan air itu kadangkala disalah anggap sebagai kebocoran paip, sedangkan ia berpunca daripada kelembapan terperangkap.

Ilustri perbezaan pengudaraan loteng yang baik dan tidak bagus.

Namun semua itu boleh dielakkan dengan sistem pengudaraan loteng yang dirancang rapi.

Ia bermula dengan pengambilan udara segar dari bahagian bawah bumbung (soffit) dan mengalirkannya ke atas melalui loteng, sebelum ditolak keluar melalui saluran di bahagian puncak bumbung.

Peredaran udara itu bukan sahaja menyejukkan ruang atas rumah, malah memastikan kelembapan tidak berkumpul.

Selain itu, penebat haba antara siling dan loteng turut memainkan peranan penting dalam mengekang pergerakan wap air ke bahagian bumbung.

Gabungan penebat yang baik dan aliran udara lancar membantu rumah kekal kering, segar serta selesa sepanjang tahun, tanpa mengira cuaca di luar.

Mungkin dari luar rumah tampak sempurna seperti cat baharu, jubin terkini, pencahayaan ambien yang ideal.

Namun tanpa sistem pengudaraan loteng yang betul, bahagian dalam rumah mungkin sedang rosak tanpa disedari.

Dalam dunia dekorasi dan rekaan dalaman moden, keindahan bukan sekadar pada apa yang terlihat mata, tetapi juga bagaimana sistem tersembunyi seperti pengudaraan dan penebat berfungsi secara harmoni untuk menyokong kehidupan seharian kita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram