Kuah kafe estetik berjiwa tradisi sentuhan Hannah B


  • Hias
  • Ahad, 08 Jun 2025

Bagi Hannah, Kuah bukan sekadar bisnes makanan.

DALAM lautan kafe berkonsep barat dan moden minimalis, muncul satu ruang makan unik yang menyatukan dekorasi estetik dan rasa autentik masakan tradisional Melayu: Kuah, milik personaliti kreatif, Hannah B.

Terletak di tengah hiruk-pikuk bandar, Subang, Kuah bukan sekadar tempat menjamu selera.

Ia adalah pengalaman visual dan emosi dihiasi gabungan warna hijau dan merah jambu lembut, jubin bercorak klasik dan susun atur ruang harmoni.

BACA LAGI: Kreativiti tanpa sempadan, pakar DIY ubah suai kotak bunga jadi Ottoman mewah

BACA LAGI: Landskap 'indoor' terapi hijau, menyatukan alam dengan seni bina dalaman rumah

Pelanggan seperti dibawa pulang ke dapur nenek tetapi dengan sentuhan 'Pinterest-worthy'.

"Saya nak orang makan dengan mata dulu, hidung, baru mulut, baru jatuh ke hati,” kata Hannah, yang menekankan pentingnya persembahan dalam menjadikan makanan satu bentuk seni.

Menariknya di Kuah, 70 peratus daripada dekorasi dan perabot Kuah adalah hasil DIY Hannah sendiri.

Dari kerusi, rak, hingga ke hiasan dinding, semuanya disusun dan dihasilkan dengan bajet ketat tetapi penuh rasa cinta.

Menu di Kuah.

"Saya memang jenis suka buat sendiri, bukan sebab kedekut, tapi sebab saya suka benda unik dan nak jimat dengan cara bijak," ujarnya sambil tersenyum.

Hannah juga mengambil inspirasi daripada laman Pinterest dan rumah-rumah lama Melayu, lalu menerjemahkannya ke dalam konsep kafe moden yang masih setia pada elemen nostalgia.

Jubin dari Jubin Cantik menjadi kawasan utama di Kuah, manakala pencahayaan lembut dan bunga segar menghidupkan mood ruang makan.

"Confirm jatuh cinta" tagline utama di Kuah.

Bagi Hannah, Kuah bukan sekadar bisnes makanan.

Ia adalah wadah menyampaikan warisan budaya Melayu dengan cara yang lebih moden dan inklusif.

Konsep 'fast food tradisional' yang diketengahkan membolehkan pelanggan menikmati masakan seperti asam pedas Johor, kuah kurma dan laksa Johor pada bila-bila masa termasuk lewat malam.

"Orang lepak mamak tengah malam, kenapa tak boleh lepak makan gulai pukul 11 malam?” katanya.

Jubin dari Jubin Cantik menjadi kawasan utama di Kuah.

Maka, Kuah dibuka dari 12 tengah hari hingga 12 malam, menjadi ruang makan santai yang menyajikan makanan sebenar, bukan makanan kilang.

Dengan nama menu seperti Asam Pedas Princess dan Lemak Cili Hati, Hannah juga menambah unsur peribadi dan cerita cinta dalam setiap hidangan.

"Makanan saya bukan saja rasa sedap, tapi ada cerita. Ada jiwa," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram