Cetus minat anak muda hayati ibadah korban 'depan mata', bukan sekadar di media sosial


  • Massa
  • Selasa, 17 Jun 2025

Pelajar dan kakitangan UNISEL menerima agihan korban daripada Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman (kanan) sempena Majlis Korban Perdana di Masjid UNISEL, Bestari Jaya baru-baru ini. — Low Lay Phon/The Star

 

 

ANAK muda adalah pemimpin masa depan. Jika bukan mereka sebagai penyambung warisan, siapa lagi legasi yang boleh kita harapkan?

Percaya atau tidak, sudah tiba masanya generasi muda diangkat menjadi 'ketua' dalam komuniti, contohnya ketika melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha. Pengalaman menyembelih, melapah serta mengagihkan daging korban ini perlu dihayati sendiri anak muda secara langsung 'depan mata', bukan setakat teruja melihat perkongsian video di media sosial.

Pucuk dicita ulam mendatang, komitmen syarikat 100% milik orang Islam, McDonald’s Malaysia dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) melunaskan ibadah korban baru-baru ini sememangnya platform terbaik buat anak muda khususnya siswazah untuk memahami proses dan pengertian ibadah itu dengan lebih mendalam.

BACA LAGI: Lelaki beli burger, tetapi dapat duit RM2.1juta di McDonald's

BACA LAGI: 'Tokong atau McDonald, cukup-cukuplah, fokus saja Harimau Malaya'

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

MK K-Clique turut terlibat dalam ibadah korban anjuran UNISEL dan McDonald’s Malaysia sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. — Low Lay Phon/The Star

Sebelum ini, kerjasama McDonald’s Malaysia dan UNISEL sebenarnya sudah bermula pada Ramadan yang lepas menerusi program Kongsi Rezeki Ramadan apabila restoran khidmat segera pertama negara yang diiktiraf Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menyantuni golongan pelajar yang memerlukan dengan menyumbang Kotak Rezeki dan duit raya, selain pada masa sama menaja aktiviti berbuka puasa kepada warga UNISEL.

Kali ini, kedua-dua McDonald’s Malaysia dan UNISEL kembali berganding bahu dengan menyediakan peluang dan pengalaman kepada hampir 150 pelajar UNISEL serta kakitangan McDonald’s melaksanakan ibadah korban, sebagai usaha untuk mendekatkan golongan muda dengan nilai dan erti sebenar ibadah ini yang menjadi tunjang sambutan Aidiladha.

Usaha ini adalah sebahagian daripada inisiatif McDonald’s Malaysia untuk menyantuni dan memberi impak positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasi.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Ain Yasmin Ma Adam Mah ketika ditemui Majoriti pada majlis ibadah korban McDonald’s Malaysia dan UNISEL baru-baru ini. — Low Lay Phon/The Star

Pelajar UNISEL, Ain Yasmin Ma Adam Mah, 23, berkata, peluang berganding bahu melaksanakan ibadah korban hasil kolaborasi McDonald’s Malaysia dan UNISEL itu cukup bermakna buat dirinya yang pertama kali menyertai program sedemikian.

"Program sebegini sememangnya detik permulaan buat generasi muda seperti saya supaya tidak kekok dengan masyarakat. Ini peluang terbaik untuk saya kerana ia sukar diperoleh di tempat lain.

"Saya dapat melihat sendiri bagaimana proses penyembelihan, melapah sebelum mengagih-agihkan daging korban kepada asnaf dan golongan yang memerlukan," kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu.

Ain Yasmin yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor memberitahu, sebagai generasi muda, dia juga teruja berkongsi video ibadah korban itu di media sosial untuk tatapan rakan-rakannya yang lain.

"Pengalaman ini tidak ternilai, sebab itu kena berkongsi dengan kawan-kawan supaya kami lebih bersedia pada masa akan datang," katanya yang menyifatkan pengorbanan perlu setara dan jangan sesekali berkira ketika memberikan pertolongan kepada sesiapa pun.

Muhammad Wafiy (kanan) memotong daging ketika majlis korban di Masjid UNISEL, Bestari Jaya baru-baru ini.

Seorang lagi pelajar UNISEL, Muhammad Wafiy Dzulkifli, 23, juga teruja diberi tanggungjawab melapah sendiri haiwan korban kali ini setelah hanya menyaksikan dari jauh ketika beberapa kali terlibat dengan ibadah korban di kampungnya sebelum ini.

"Bukan mudah nak dapat pengalaman sebegini, terima kasih McDonald’s Malaysia dan UNISEL kerana memberikan kami peluang merasai sendiri suasana ketika melaksanakan ibadah korban.

"Sekurang-kurangnya kami dapat ilmu baharu, oh macam ini rupanya nak sembelih lembu, takkan nak jawab tak tahu sampai bila-bila," katanya yang kini berada di semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Nur Erika Adrien Ahmad Zamri

Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat UNISEL, Nur Erika Adrien Ahmad Zamri, 23, ibadah korban seperti ini juga merapatkan lagi ukhwah antara pelajar dan pensyarah di universiti berkenaan.

"Saya terkejut ramainya yang turut serta, sebelum ini segan nak berbual panjang kerana menghormati pensyarah ketika waktu kuliah, kalau bercakap pun cuma mengenai pembelajaran semata-mata.

"Dengan aktiviti korban seperti ini, masing-masing saling bantu-membantu tak kira pelajar mahupun pensyarah, jadi hubungan itu dilihat lebih akrab... syukur Alhamdulillah," katanya yang berharap supaya ibadah korban itu diteruskan McDonald’s Malaysia sebagai aktiviti tahunan di UNISEL selepas ini.

Nurul Izzah Amir Hashim

Dalam pada itu, pekerja McDonald’s Malaysia, Nurul Izzah Amir Hashim, 20, tidak menganggap usianya yang paling muda sebagai kekangan untuk sama-sama bertindak sebagai sukarelawan pada kali ini.

"Saya paling rapat dengan arwah ibu, Suraya Selamat, 58, yang meninggal dunia pada tahun lepas akibat kanser rahim. Dia paling suka masak sambal taun, jadi bila merewang masak beramai-ramai seperti ini, ia mengimbau semula momen terindah bersamanya terutamanya setiap kali musim raya.

"Sebagai anak bongsu dari enam beradik, saya kena berikan yang terbaik demi keluarga dan masyarakat. Menyertai program kemasyarakatan seperti ibadah korban McDonald’s Malaysia dan UNISEL adalah salah satu daripadanya," katanya yang kini bertugas sebagai Guest Experience Leader di cawangan McDonald’s di Serendah, Selangor.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Nana Sheme

Sementara itu, penyanyi Nana Sheme yang turut terlibat dalam ibadah korban sebegitu buat kali pertama turut terkejut kerana golongan wanita sepertinya juga rupa-rupanya memainkan peranan penting dalam aktiviti tersebut.

"Selama ini saya ingatkan ini semua kerja orang lelaki, ini kali pertama saya datang dekat serta turut serta menimbang dan melapah daging korban.

"Saya harap inisiatif seperti ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa depan sekali gus menjamin penglibatan kaum wanita setiap kali menunaikan ibadah korban," kata pemilik nama sebenar Nur Nabilah Hashimi itu yang turut sedekahkan al-Quran dan Yasin di tiga buah masjid di Selangor bersama suaminya.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Safwan Nazri

Bagi pelakon Safwan Nazri pula, penglibatan generasi muda dalam ibadah korban sebegini cukup bagus sebagai contoh dan teladan dalam kalangan masyarakat.

"Pengertian konteks korban sebagai ibadah ini cukup meluas, ia bukan saja melibatkan keluarga malah bagaimana ia mendidik generasi muda mengenai betapa pentingnya korban sebagai sunat muakkad.

"Saya harap Gen Z dapat memahami walaupun kurang berkemampuan dari segi kewangan, kesedaran untuk membantu orang susah dapat dipupuk termasuk mengumpul sedikit demi sedikit dan mulakan dengan satu bahagian korban," katanya yang meletakkan dua sahabat baik, Tajuddin Bakar dan Harris Annuar sebagai individu yang sanggup dipertahankan selain famili tercinta apabila berbicara soal pengorbanan.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Naib Canselor UNISEL, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman (lima dari kanan) dan Pengarah Kanan Jenama McDonald’s Malaysia, Azman Mohammad (lima dari kiri) mengagihkan lembu korban kepada warga UNISEL sempena Majlis Korban Perdana di Masjid UNISEL, Bestari Jaya baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pihaknya bukan saja melaksanakan ibadah korban sebagai satu kewajipan, tetapi turut berkongsi peluang dengan anak-anak muda yang terdiri daripada pelajar UNISEL dan warga kerja McDonald’s Malaysia untuk menghayati dan mendalami sendiri ibadah ini secara langsung.

"Justeru itu, platform yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia adalah ruang untuk memastikan golongan muda terus diperkasakan dan dipersiapkan untuk menggalas tanggungjawab ini pada masa akan datang," katanya.

Sudah tiba masanya aktiviti masyarakat seperti ibadah korban kini diterajui golongan muda.

Beliau berkata, selain menyantuni anak muda, usaha ini juga untuk McDonald’s Malaysia mendekati golongan fakir dan miskin melalui sumbangan daging lembu untuk mereka meraikan Aidiladha.

"Usaha ini turut bertepatan dengan semangat hari yang mulia ini apabila golongan yang berkemampuan menzahirkan keprihatinan kepada golongan yang memerlukan dengan berkongsi rezeki,” katanya.

Program Korban McDonald's Malaysia bersama UNISEL Masjid Universiti Selangor Jalan Timur Tambahan, 45600 Batang Berjuntai, Selangor. —Low Lay Phon/The Star

Daging korban yang diagihkan kepada golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan. — Low Lay Phon/The Star

Termasuk UNISEL, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan ibadah korban di beberapa lokasi lain di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 18 ekor lembu.

Penglibatan McDonald’s Malaysia dalam usaha korban ini kini memasuki tahun kelima sejak mula dilaksanakan pada 2021. Inisiatif ini diteruskan saban tahun sebagai salah satu cara McDonald’s Malaysia mendekati komuniti daripada pelbagai latar belakang, khususnya umat Islam yang memerlukan, sejajar dengan komitmen syarikat dalam menyantuni komuniti setempat.

Pada masa sama, McDonald’s Malaysia juga sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti @ McDonald’s.

Dianggarkan sebanyak 10,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun merangkumi segenap lapisan masyarakat.

Antaranya adalah sumbangan moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, meraikan hari jadi anak-anak yatim pada bulan kanak-kanak, meraikan warga emas di rumah kebajikan sertai melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi-institusi zakat negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram