Jangan terus hukum, ibu bapa luang masa 15 minit selami hati anak remaja selalu memberontak


  • Bonda
  • Rabu, 18 Jun 2025

Ibu bapa perlu lebih memahami dan mendengar perkara yang disuarakan anak remaja. — Gambar hiasan/Agensi

FASA pertumbuhan anak bukan sekadar perubahan fizikal, malah ia merupakan satu proses komplek yang melibatkan perkembangan emosi, mental dan sosial mereka.

Kebiasaannya, fasa mencabar untuk ibu bapa adalah apabila anak sudah meningkat usia atau dikategorikan sebagai remaja.

Disebabkan itu, ramai ibu bapa yang mungkin tersilap dalam menafsir tingkah laku anak remaja apabila mereka menunjukkan tanda-tanda seperti keras kepala atau sukar mendengar arahan.

BACA LAGI: [VIDEO] Anak petani berani keluar kepompong, kini jadi YouTuber masakan terkenal seluruh dunia

BACA LAGI: Ibu hamil jangan berpanas bawah matahari terik, kesan gelombang haba berisiko kelahiran pramatang

Anak remaja yang memberontak perlu difahami dan dikasihi. — Gambar hiasan/Agensi

Menurut penceramah motivasi remaja dan pelajar dikenali sebagai Che Mat, remaja yang kerap menjawab atau melawan, ia merupakan reaksi mereka untuk bersuara.

"Dia bukan melawan, dia cuma cuba suarakan diri. Apabila anak menjawab, bukan kerana biadab, tetapi sebab dia rasa tidak didengar," tulisnya di hantaran facebook pada Rabu.

Malah, remaja yang menjauhkan diri daripada ibu bapa juga bukanlah semestinya mahu berahsia atau memberontak, sebaliknya kerana mereka tidak merasa selamat untuk meluahkan perasaan.

Sikap berdiam diri yang disalah anggap sebagai perubahan positif juga kadangkala tanda mereka sudah hilang harapan kepada ibu bapa untuk difahami.

"Anak yang dilabel degil, selalu hanyalah anak yang penuh persoalan. Kenapa saya tak boleh buat itu? Kenapa abah marah kalau saya tanya?.

"Ingat ya, anak yang banyak tanya bukan bermasalah. Dia cuma belum jumpa ibu bapa yang sudi jawab dengan sabar.

"Dia menjerit dalam diam. Jeritan hatinya tak dengari. Apabila mereka mula buat perangai pelik, jangan terus cop 'sengaja cari pasal.'

"Kita cepat hukum, tapi lambat selami. Sedangkan, kalau kita duduk dengannya 15 minit sahja, mungkin kita akan tahu anak ni sebenarnya terlalu rindu dipuji dan disayangi," katanya.

Tambahnya, perubahan positif hanya akan berlaku apabila anak merasakan dirinya difahami dan disayangi.

Beliau turut mengingatkan, satu jurang besar akan terhasil dalam hubungan ibu bapa dan anak sekiranya gagal memahami emosi mereka.

Para ibu bapa juga disarankan untuk mengawal perasaan lebih banyak bersabar sepanjang mendidik anak remaja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram