[VIDEO] Anak petani berani keluar kepompong, kini jadi YouTuber masakan terkenal seluruh dunia


  • Sukses
  • Selasa, 17 Jun 2025

Kaushalya Chaudhary menjadi sumber inspirasi kepada wanita seluruh dunia. — Agensi

KETIKA wanita lain sibuk menjalani rutin harian di rumah, muncul seorang wanita di sebuah perkampungan kecil di Kuri, Rajasthan, India bangkit memecah arus tradisi itu.

Sosok bernama Kaushalya Chaudhary itu memilih untuk mencipta perubahan besar dengan hanya merakam videonya memasak di YouTube.

Dengan bermodalkan telefon pintar dan kemampuannya, Kaushalya kini mempunyai lebih 1.6 juta pengikut dan memiliki jenama makanan tradisional 'Sidhi Marwari' yang memberi sinar kepada seluruh wanita di seluruh dunia.

Namun, di sebalik kejayaan itu, terdapatnya liku-liku perjalanan perlu ditempuhinya dengan bersemangat.

BACA LAGI: [VIDEO] Bangkit lepas koma 5 bulan, pengusaha sambal Dapur Pak Amir mula bermodal pertama RM500 gigih ubah nasib keluarga

BACA LAGI: Ibu hamil jangan berpanas bawah matahari terik, kesan gelombang haba berisiko kelahiran pramatang

Kaushalya Chaudhary. — Agensi

Memasak rutin harian sejak kecil

Dibesarkan dalam keluarga petani dan gaya hidup yang sederhana, hari-hari Kaushalya dihabiskan di ladang, membantu ibunya dan ke sekolah.

Sebagai anak sulung daripada empat beradik, beliau juga sering memasak dan menyediakan makanan ketika ibunya sibuk menguruskan ladang.

"Apabila ibu saya pulang ke rumah dalam keadaan letih, saya akan masak sesuatu untuknya.

"Saya mula jatuh cinta dengan dunia memasak apabila melihat kegembiraan yang terpancar di wajahnya apabila dia menyukai masakan saya," katanya.

Alat yang diubahsuai sendiri untuk menghasilkan video di rumahnya. — Agensi

Terikat tradisi bukan penghalang

Sama seperti wanita lain, Kaushalya juga mempunyai cita-citanya iaitu ingin menjadi seorang doktor.

Namun, apakan daya, beliau dikahwinkan selepas tamat belajar sekolah menengah.

Perkahwinan itu sekali gus mengubah kehidupannya sekelip mata dan terpaksa menjalani sebagai petani sepenuh masa disebabkan tradisi di kampungnya yang tidak membenarkan wanita untuk bekerja di luar.

Sebagai satu-satunya menantu perempuan, beliau sering diingatkan tentang peranan di rumah, tetapi ia tidak sesekali melunturkan semangat Kaushalya.

"Nenek dan ibu mertua fikir jika saya bekerja, siapa yang akan melakukan kerja rumah? Dan siapa akan jaga tetamu yang akan datang ke rumah?.

"Sejak daripada itu, saya bertanya kepada diri sendiri mengapa saya belajar 12 tahun jika akan berakhir di sini.

"Tetapi, saya tetap fikir perlu melakukan sesuatu walaupun dalam ruang empat dinding ini," jelasnya.

Platform YouTube menjadi titik perubahan buatnya. — Agensi

YouTube sinar harapan

Dengan secebis harapan, beliau mengambil langkah untuk menghasilkan video selepas membaca berita tentang seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang memperoleh pendapatan melalui platform YouTube.

Kaushalya juga terpaksa mengumpul wang sendiri dan meminjam daripada ibunya untuk membeli telefon pintar.

Usaha itu juga membuahkan hasil apabila video pertamanya berjaya dimuat naik pada 2017.

Beliau juga berkongsi resepi masakan dan video masakan tradisional pada musim sejuk yang dikenali sebagai Haldi Ki Sabji (kari kunyit segar) membawa tuah kepadanya.

Hanya bermodalkan wayar aluminium sebagai tripod dan mentol sebagai lampu, Kaushalya mampu merakam video di dapur rumahnya.

Untuk memuat naik video pula, Kaushalya perlu memanjat bumbung rumah demi mendapatkan capaian internet yang lebih laju.

"Apabila tiada capaian internet, saya akan naik ke atas bumbung dan menunggu berjam-jam.

"Saya juga menonton setiap tutorial penyuntingan, membuat nota dan menulisnya satu demi satu dalam diari untuk rujukan," katanya sambil menambah bahawa bayaran pertamanya diterimanya adalah sebanyak RM370 (RS 7,500) daripada YouTube.

Video Kaushalya mendapat sambutan seluruh India. — Agensi

Kekuatan bahasa dan identiti

Pada awalnya, Kaushalya menghasilkan video dalam bahasa Hindi, namun kurang mendapat sambutan.

Semuanya berubah apabila neneknya sendiri tidak memahami bahan masakan yang disebut dalam bahasa Hindi atau Inggeris.

"Mereka bertanya kepada saya apa itu serbuk kunyit dan cili merah.

"Mereka juga bertanya mengapa Dhaniya dipanggil ketumbar dalam video saya," katanya.

Sejak itu, beliau mula bercakap menggunakan bahasa Rajasthani dalam setiap videonya sehingga mendapat beratus ribu pengikut serta berhasil menjana pendapatan sebanyak lima angka.

"Saya dapat tontonan berjuta-juta dan mampu jana RM4,924 (RS100,000).

"Apa yang tidak kami perolehi dalam dua tahun akhirnya berjaya dapat dalam satu bulan.

"Ini menunjukkan bahawa bahasa dan budaya mempunyai nilai tersendiri.

"Seorang warga Rajasthani yang tinggal di Amerika Syarikat (AS) menghantar mesej kepada saya mengatakan menonton video itu membuatkan dia berasa seperti sudah pulang ke rumah.

"Ketika itulah saya tahu bahawa inilah impian saya," ujarnya.

Kejayaannya dikecapi selepas terpilih sebagai 12 peserta terbaik dalam MasterChef India. — Agensi

Dari YouTuber ke MasterChef

Satu lagi lonjakan ketara buat Kaushalya apabila terpilih sebagai peserta rancangan masakan realiti televisyen MasterChef India dan mewakili Rajasthani pada 2023.

Beliau juga mengetengahkan masakan warisan seperti Kachi Haldi Ki Sabji, Kuga Roti, dan Makhaniya Lassi yang memukau juri profesional.

Ia sekali gus menjadi permulaan produknya, Sidhi Marwari yang merupakan bahan rempah ratus asli dan minyak sejuk tanpa bahan pengawet.

"Apabila TikTok diharamkan di India, saya kehilangan 15,000 pelanggan dan hasil yang dijana daripada video tersebut.

"Saya menyedari bahawa sumber pendapatan saya adalah melalui platform media sosial seperti YouTube, Instagram atau Facebook.

"Tetapi, jika platform itu tiada lagi, apakah yang akan saya lakukan untuk mendapatkan wang?.

"Justeru, saya hasilkan 'Sidhi Marwari' pada Mac 2024 dengan kaedah tradisional dan air tangan wanita kampung," katanya.

Kini, kilangnya juga dibangunkan di 15 cawangan di India dan mendapat permintaan ke seluruh dunia.

Lebih membanggakan apabila kilangnya yang pada awalnya diurus oleh ahli keluarga, kini mampu menggajikan lebih 35 wanita kampung.

"Bagi saya, ia sangat jelas. Wanita di kampung kita tidak sepatutnya meninggalkan rumah untuk bekerja.

"Mari kita mencipta pekerjaan di sini. Saya beritahu mereka, jangan tunggu masa.

"Luangkan masa walaupun ia satu jam sehari, gunakannya untuk mengerjakan impian anda," pesannya.

Di sebalik kejayaan luar biasa itu, Kaushalya tetap mengekalkan sikap merendah diri.

"Saya masih mahu jadi menantu, ibu dan anak perempuan seperti dulu. Cuma saya mahu lebih ramai wanita sedar tentang nilai diri mereka," ucapnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram