
KECIL-KECIL cili padi, tak padan usia baru menginjak 9 tahun, penari cilik tarian Ngajat, Dion Das Louis sudah mencipta nama hingga ke pentas antarabangsa.
Menjadi tunjang utama dalam perjalanan Dion, ibunya, Edina Lanying, 44, dan bapa, Louis Lansam berusia 44 tahun, tidak pernah jemu memberi sokongan kepada anak bongsunya mereka.
Menceritakan kembali penglibatan awal Dion dalam seni tarian tradisional, Edina berkata, minat anak lelakinya itu mula berputik selepas dinobatkan juara pada pertandingan Kids Talent 2022 di Kuching, Sarawak.
Tarian burung Dion terkenal hingga ke pentas antarabangsa.
Kemenangan itu secara tidak langsung menjadi titik permulaan kepada pengembaraan Dion dalam dunia tarian sehingga mendapat gelaran 'Little Bornean Birdie'.
Gelaran itu diberikan selepas membuat persembahan tarian kontemporari etnik yang membawa watak seekor burung kecil pada Kejohanan Malaysia peringkat akhir di Kuala Lumpur, 27 Januari lalu.
Persembahan memukau itu juga terdapat elemen dari dua burung megah Borneo iaitu burung ruai dan kenyalang atau enggang.
Lebih menarik apabila kesungguhan Dion untuk belajar menari bukanlah sepenuhnya di kelas tarian atau bersama guru peribadi.
"Sejak daripada itu, Dion mula kerap tengok dan belajar daripada video di YouTube tentang tarian tradisional Sarawak.
"Dion juga dapat tunjuk ajar daripada saya dan suami kerana kami sendiri pun pernah menjadi penari kebudayaan," katanya kepada Majoriti.
Sebagai ibu, Edina mengakui bahawa rasa bangga apabila melihat usaha dan bimbingan mereka membuahkan hasil kepada Dion.
Edina (kanan), Louis (kiri) bersama Dion (dua dari kiri) dan anak sulung mereka.
Menyokong setiap langkah anaknya, Edina juga banyak mendedahkan Dion untuk melibatkan diri dalam pelbagai pertandingan tarian dan pencarian bakat serta memenuhi undangan persembahan di majlis-majlis rasmi di sekitar Kuching, Sarawak.
"Dion lebih memilih tarian tradisional kerana sudah menunjukkan minat yang amat mendalam," jawabnya apabila ditanya mengapa Dion tidak memilih tarian moden.
Meskipun terkenal seluruh dunia, Dion tetap seorang kanak-kanak yang masih bersekolah.
Kata Edina, mereka sekeluarga tetap mengutamakan pendidikan dan pencapaian akademik Dion walau sesibuk manapun.
"Untuk pengurusan masa belajar, Dion akan ke sekolah seperti biasa pada siang hari.
"Manakala, waktu malam menjalani latihan tarian.
"Jika ada undangan persembahan, kami terima hujung minggu dan cuti sekolah sahaja, tetapi ada kalanya waktu malam," katanya.
Untuk rekod, Dion mula mencipta nama peringkat antarabangsa apabila berjaya mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts 2024 di Long Beach, California, Amerika Syarikat (AS).
Dalam kejohanan berprestij itu, Dion juga memenangi dua pingat emas dan dua pingat perak dalam kategori Junior Ethnic Dance dan Junior Modelling.
Lebih membanggakan, Dion turut dinobatkan sebagai All Division Champion dalam kategori Ethnic Dance dan Photoshoot Modelling (Junior), satu pencapaian yang luar biasa bagi usia semuda itu.
Dion mewakili Malaysia ke World Championship of Performing Arts 2024 di Long Beach, California, AS.
Kini, Dion sekali lagi bakal menggalas tanggungjawab besar apabila dipilih untuk mewakili Malaysia ke Dance World Cup Finals 2025 yang akan berlangsung di Burgos, Sepanyol pada 1 Julai nanti.
Menurut Edina, Dion akan bertanding dalam kategori Mini Solo National and Folklore pada 4 Julai dan menentang lebih 8,000 penari dari 51 buah negara seluruh dunia.
"Doakan kejayaan Dion, mudah-mudahan jika ada rezeki dia akan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia," ucapnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram