Minum air sejuk boleh kecutkan rahim, bekukan susu ketika berpantang, doktor perjelas sejauh mana kebenaran mitos


  • Bonda
  • Khamis, 12 Jun 2025

Kesan bahaya air sejuk kepada ibu sedang berpantang adalah mitos. — Gambar hiasan/AI

SETIAP wanita yang melahirkan anak pasti akan melalui fasa pemulihan supaya fizikal terus dijaga rapi.

Fasa yang juga dikenali sebagai proses berpantang mempunyai pelbagai adat dan pantang larang sering diamalkan terutama dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Antara larangan sering dimomokkan kepada wanita selepas melahirkan adalah tidak boleh minum minuman yang sejuk atau berais.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Suprise' ulang tahun tukar duka, isteri, anak terkejut temukan bapa terbujur kaku di dalam bilik

BACA LAGI: Lebih 100 koleksi fesyen milik Puteri Diana dilelong, ada gaun cecah harga RM1.3 juta

Setiap ibu mempunyai cara tersendiri dalam menjalani proses berpantang. — Gambar hiasan/Ibidan

Berdasarkan kepercayaan 'orang lama', air sejuk menjadi musuh utama kerana boleh menyebabkan angin dalam badan, rahim kembang, urat kesejukan sehingga susu boleh menjadi beku.

Ia secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dan tekanan emosi kepada para ibu.

Tidak perlu khawatir lagi, menurut pakar perubatan dalam bidang kesuburan dan kesihatan dalaman wanita, Dr Raihana Ismail menjelaskan bahawa kesemua larangan berkenaan adalah mitos semata-mata.

Jelasnya, tubuh manusia mempunyai termoregulasi yang berfungsi untuk menstabilkan suhu cecair yang diminum.

"Dalam erti kata lain, air sejuk itu akan jadi suam dalam badan. Bukan beku dalam rahim.

"Yang lebih penting ketika berpantang bukanlah tentang air sejuk atau tidak, tetapi cukup atau tidak minum air.

"Kalau tak cukup minum air akan terjadinya sembelit, badan lesu dan susu tak keluar," katanya.

Tambahnya, pengambilan air yang cukup tidak kira sejuk atau panas dapat membantu proses pemulihan selepas melahirkan dengan lancar.

Bagaimanapun, bagi sesetengah individu yang ingin mengamalkan pantang secara tradisional atas sebab ketenangan mental atau kepercayaan keluarga, ia tidak menjadi kesalahan selagi tidak menjejaskan kesihatan ibu.

"Di Norway, Iceland dan Korea ramai ibu-ibu minum air sejuk, anak keluar baik sahaja, rahim pun tak reput.

"Jangan biarkan mitos buat kita takut benda yang tak logik. Pantang dengan gembira," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram