
MEMULAKAN perjalanan sejak lebih 10 tahun lalu, nama Datin Che Puteh Ismail tidak lagi asing dalam dunia kraf kait tempatan.
Bukan hanya hobi semata, wanita berusia 53 tahun berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini menetap di Kuala Lumpur itu menjadikan seni kraf kait sebagai sumber pendapatan tetapnya.
Menjadikan kraf kait sebagai kerjaya sepenuh masa, Che Puteh mengakui segala-galanya bermula daripada impian untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarga.
BACA LAGI: Lebih 100 koleksi fesyen milik Puteri Diana dilelong, ada gaun cecah harga RM1.3 juta
BACA LAGI: Kecewa jadi peluang, pekebun tanam mangga 'tak sengaja' lonjakkan imej harum manis di Perlis
Che Puteh Ismail mahir mengait seawal usia tujuh tahun.
Hasrat suci itulah yang menjadi titik permulaan kepada kesungguhannya menceburi dunia perniagaan, biarpun pada awalnya hanya secara kecil-kecilan.
Mahir mengait seawal usia tujuh tahun, Che Puteh tidak menyangka bakat tersebut akhirnya membuka pintu rezeki buatnya dan keluarga.
"Ketika usia itu saya selalu ikut kakak-kakak saya mengait di kampung untuk mengisi masa lapang selalunya.
"Tetapi, bila meningkat dewasa dan setelah berkahwin, saya berpindah ke Kuala Lumpur dan saya berhenti kerja sebagai jurutera.
"Selepas jadi suri rumah sepenuh masa, saya mula rasa nak tambah pendapatan sebab sebelum itu saya berhasrat nak tunai umrah.
"Suami kata, kalau nak pergi umrah perlu ada duit dan sejak daripada itu saya berazam," katanya kepada Majoriti.
Modal RM20
Pada tempoh percubaan, pelbagai rekaan produk dihasilkan dengan kaedah mengait seperti aksesori bayi seperti pakaian, topi kecil.
Hanya bermodalkan benang dan jarum kait, beliau tidak menafikan bahawa ia satu permulaan yang lancar.
Sebut sahaja tentang jumlah modal dikeluarkan ketika itu, RM20 bukanlah angka yang dijangka ramai.
"Bila orang dengar pun mereka macam tak percaya sebab saya bermula dengan RM20.
"Kisahnya bila anak saya keluar dan belikan benang murah di kedai runcit dan jarum.
"Jadi, saya pun kait secara santai dan dapatlah buat topi, beg anak. Sejak itu, saya teruskan perlahan-lahan hasilkan banyak lagi produk kait dan jual dengan harga serendah RM3 hingga RM25," kongsinya.
Katanya, perjalanan itu juga tidak mudah kerana perlu berdepan pelbagai cabaran sebelum berada di tahap sekarang.
Pernah juga kraf dihasilkannya tidak menjadi, tidak laku apabila dijual.
Meskipun begitu, semangatnya tidak pernah luntur dan terpaksa cekalkan hati untuk meneruskan perjuangannya.
Benang kait yang menjadi permulaan buat Che Puteh. — Facebook/Che Puteh
Covid-19 titik perubahan
Di kala jutaan rakyat kehilangan pekerjaan dan pendapatan, Che Puteh bersyukur dikurniakan rezeki untuk meluaskan perniagaan kraf kaitnya.
Baginya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 merupakan peluang besar buatnya mengembangkan bisnesnya.
Disebabkan perubahan trend yang menetapkan pemakaian pelitup muka, ibu kepada empat orang itu mengambil keputusan untuk menghasilkan tali penyambung (extender).
Mungkin dilihat sebagai inovasi kecil, tetapi ia sangatlah berguna dan bermanfaat buat seluruh masyarakat.
Tidak melepaskan peluang itu, beliau juga mengambil pendekatan kreatif untuk menjual pola kait atau pattern hasil rekaannya dalam bentuk panduan bergambar secara dalam talian.
"Bila nampak perkembangan, saya mula hasilkan beg, jambangan bunga kait dan jual pattern melalui aplikasi WhatsApp dan beri panduan lengkap khusus untuk mereka yang berminat nak belajar mengait.
"Sekarang beg kait yang saya jual juga dengan anggaran RM100 hingga RM200.
"Tetapi, ada juga pelanggan tidak faham dan terus beli tanpa kemahiran asas.
"Sebab itu, selalu saya akan ingatkan kalau nak beli perlu ada asas atau sekurang-kurangnya pandai menjahit," jelasnya.
Menurutnya, menyiapkan satu beg kait juga mengambil masa sehari hingga dua hari bergantung kepada saiznya.
Ia juga antara faktor menyebabkan harga yang dicarj lebih tinggi dan mahal kerana mengambil kira masa serta tenaganya.
Rekaan beg kait Juwita antara yang menerima permintaan tinggi sehingga ke luar negara. — Instagram/Che Puteh
Dari rumah ke pasaran global
Walaupun hanya menjalankan perniagaan sepenuhnya dari rumah, Che Puteh tidak menyangka produknya mampu menembusi pasaran luar negara.
Katanya, dengan usahanya mempromosikan perniagaannya di media sosial seperti Instagram dan TikTok, jenamanya mula dikenali sehingga ke Amerika Syarikat, Arab Saudi dan negara lain.
"Mereka kerap beli pattern saya melalui WhatsApp sahaja. Antara pattern yang sering dibeli adalah Juwita (rekaan beg tangan hijau bersaiz kecil).
"Kalau orang kita (tempatan) pula lebih gemar rekaan Sakura dan kebiasaannya pelanggan lingkungan berusia 25 hingga 60 tahun," ujarnya.
Tambahnya, niatnya menjalankan perniagaan itu juga bukanlah untuk mengaut keuntungan semata-mata, tetapi bertujuan membuka peluang kepada masyarakat atau suri rumah sepertinya menjana pendapatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram