
INSIDEN tragis seorang ibu maut dan abang kandung ditikam oleh pelajar tingkatan 5 di Taman Mutiara Rambai, Melaka pada Khamis ternyata mengejutkan rakyat Malaysia.
Kejadian yang berlaku itu juga membuka mata ramai pihak mengenai tekanan luar biasa yang dihadapi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mengejar kecemerlangan akademik.
Dalam kejadian lebih kurang jam 5 pagi, suspek remaja berusia 17 tahun dipercayai masuk ke bilik ibunya yang juga merupakan guru berstatus ibu tunggal lalu menyerang mangsa sebelum menikam wanita berusia 51 tahun itu menggunakan pisau lipat.
Ketua Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, anak sulung mangsa yang berusia 21 tahun, menyedari kekecohan berlaku dan cuba meleraikan namun turut ditikam suspek sehingga maut sebelum mayat kedua-dua beranak itu ditemui di ruang tamu rumah teres setingkat itu.
Menurutnya, seorang lagi anak bongsu lelaki mangsa berusia 13 tahun turut mengalami kecederaan parah ditikam suspek, namun dilaporkan stabil dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Melaka.
Terkesan dengan kes tragis itu, seorang ibu, Ruqayyah Muhd, yang turut mempunyai anak bakal menduduki SPM tahun ini, berkongsi perasaannya di Facebook mengenai insiden tersebut.
Dia menyatakan rasa simpati mendalam terhadap pelajar tersebut yang dipercayai mengalami tekanan mental akibat bebanan pelajaran dan harapan ibu bapa.
"Jujur saya terkesan dengan kes ibu yang mati ditikam anaknya di tingkatan 5. Jika benar anaknya stres kerana disuruh belajar dan dapat keputusan yang cemerlang, saya sangat bersimpati dan sedih," katanya di Facebook.
Menurut Ruqayyah, walaupun semua ibu bapa mahu anak mereka berjaya dan membanggakan, kadangkala harapan itu menjadi beban yang membebankan jiwa anak-anak.
Anak Ruqayyah sendiri yang bakal menduduki SPM tahun ini dan dia mengakui anaknya sering berkongsi rasa stres, kurang rehat dan risau tentang keputusan peperiksaan.
Dia menekankan bahawa walaupun anak-anak cuba menyembunyikan keresahan, akhirnya perasaan itu tetap terluah kepada ibu bapa.
Ruqayyah turut mengingatkan bahawa generasi pelajar SPM 2025 menghadapi cabaran unik.
Mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan pembelajaran secara dalam talian (PDPR) sejak sekolah rendah akibat pandemik dan kini menghadapi peperiksaan yang diawalkan dengan silibus belum selesai sepenuhnya.
“Batch SPM 08 ini memang sangat tertekan. Kelas siang malam untuk ‘cover’ topik belum habis. Sampai rasa mana seronoknya belajar bila semua terasa stres,” jelasnya.
Selain pelajar, guru-guru juga turut merasai tekanan untuk memastikan anak murid mendapat keputusan terbaik.
Ruqayyah menegaskan bahawa rumah dan keluarga menjadi nombor dua kerana komitmen tinggi di sekolah.
Namun, dia menasihatkan agar ibu bapa tidak meletakkan tekanan berlebihan kepada anak-anak.
“It’s okay! Berapa pun dapat tak apa. Yang penting kita usaha setakat mana mampu. Doa, dan usaha. Sudah selesai kita tawakal dan serah pada ALLAH,” ujar Ruqayyah memberi semangat kepada anaknya.
Ruqayyah bersama anaknya. — Facebook/Ruqayyah
Ruqayyah mengingatkan bahawa walaupun kecemerlangan akademik penting, kesihatan mental anak-anak adalah lebih utama.
Harapan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan anak-anak hilang kegembiraan dan mengambil langkah yang salah.
“Berhati-hatilah dalam meletakkan harapan. Anak bukan robot tapi seorang manusia yang sedang belajar menjadi seorang insan,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram