Strategi pembelian rumah pertama: Silap percaturan boleh jadi beban, kalau bijak raih pendapatan sampingan


  • Hias
  • Selasa, 10 Jun 2025

Shazwan menegaskan bahawa strategi pelaburan yang betul bukan hanya bergantung pada lokasi dan harga rumah, tetapi bagaimana rumah itu akan digunakan. — Gambar Hiasan

DALAM bidang pelaburan hartanah, keputusan awal yang diambil sangat menentukan sama ada aset tersebut menjadi liabiliti atau sumber pendapatan.

Seorang Perunding Pelaburan Hartanah, Shazwan Noraship, berkongsi dua pengalaman berbeza yang memberikan pengajaran penting mengenai keperluan strategi dalam pembelian rumah.

Kisah pertama melibatkan pasangan muda berumur 27 tahun yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga dan bekerja di Kuala Lumpur dengan pendapatan gabungan melebihi RM8,000 sebulan.

BACA LAGI: Dari pramugari IndiGo ke kapten pesawat, kisah perjalanan penuh inspirasi

BACA LAGI: Mesej terakhir tak berjawab, klip rambut jadi kenangan abadi sahabat mangsa bas UPSI

Mereka memilih untuk membeli sebuah rumah teres tiga bilik di kawasan pinggir bandar dengan harga sekitar RM460,000.

Pasangan itu beranggapan bahawa memiliki rumah lebih awal adalah langkah yang bijak untuk masa depan.

Namun, selepas rumah siap, mereka menghadapi cabaran jarak yang jauh ke tempat kerja, memerlukan perjalanan selama dua jam pergi dan balik setiap hari.

Kos bahan api dan tol yang meningkat menyebabkan tekanan kewangan serta ketegangan dalam rumah tangga.

Kos kehidupan harian semakin meningkat menyebabkan tekanan kewangan serta ketegangan dalam rumah tangga.  Gambar Hiasan

Akhirnya, selepas lapan bulan, rumah tersebut tidak berpenghuni dan mereka kembali menyewa kediaman dalam bandar, sementara masih menanggung bayaran pinjaman rumah yang tidak didiami.

Sebaliknya, kisah kedua melibatkan seorang lelaki bernama Aiman, berumur 29 tahun yang juga bekerja di sekitar Kuala Lumpur.

Aiman membeli sebuah rumah dalam pembinaan di kawasan bandar dengan harga sekitar RM350,000.

Berbeza dengan pasangan tadi, dia tidak menetap di rumah tersebut.

Sebaliknya, dia memilih untuk menyewa sebuah rumah kecil yang lebih dekat dengan pejabatnya dan menyewakan rumah dibelinya mengikut bilik.

Dengan tiga bilik disewakan pada anggaran RM650 setiap satu, Aiman memperoleh pendapatan sewa bulanan sebanyak RM1,950, sementara bayaran pinjaman rumahnya sekitar RM1,400 sebulan.

Ini bermakna dia mendapat lebihan pendapatan sebanyak RM550 setiap bulan.

Perbezaan utama antara kedua-dua kisah ini terletak pada pendekatan dan cara berfikir.

Pasangan pertama membeli rumah berdasarkan emosi serta keinginan memiliki kediaman sendiri tanpa mengambil kira faktor jarak ke tempat kerja, kos sara hidup, gaya hidup semasa dan kemampuan sebenar.

Manakala Aiman membeli dengan strategi pelaburan yang jelas, memaksimumkan potensi rumah tersebut sebagai sumber pendapatan pasif.

Aiman memperoleh pendapatan sewa bulanan sebanyak RM1,950, sementara bayaran pinjaman rumahnya sekitar RM1,400 sebulan. — Gambar Hiasan

Shazwan menegaskan bahawa strategi pelaburan yang betul bukan hanya bergantung pada lokasi dan harga rumah, tetapi bagaimana rumah itu akan digunakan. 

Siapa sasaran penyewa, bagaimana susun atur rumah boleh dimanfaatkan bagi potensi pertumbuhan nilai hartanah dalam jangka masa lima hingga sepuluh tahun akan datang.

Walaupun hasilnya mungkin tidak dapat dilihat dengan segera, rumah pertama yang dibeli dengan perancangan teliti boleh menjadi sumber pendapatan pasif berterusan sehingga pencen.

Bayangkan apabila mencapai umur 60 tahun, rumah tersebut masih memberikan pendapatan sewa sementara pinjaman sudah selesai dibayar.

Menurut Shazwan, masa terbaik untuk merancang strategi pelaburan hartanah adalah sebelum menandatangani dokumen pembelian.

 

 

Menunggu sehingga selepas menerima kunci rumah biasanya sudah terlambat untuk membuat perubahan yang signifikan.

Pengajaran daripada dua kisah itu jelas menunjukkan bahawa pelaburan hartanah yang berjaya memerlukan perancangan matang dan pendekatan strategik, bukan sekadar memenuhi keinginan memiliki rumah sendiri tanpa mengambil kira faktor-faktor penting lain.

Dengan strategi yang betul, pelaburan hartanah boleh menjadi asas kestabilan kewangan dan penciptaan legasi jangka panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram