[VIDEO] ‘Jangan halalkan benda tak betul’, agamawan sifatkan isu main ML dalam Masjid UPM perkara lagha


  • Massa
  • Rabu, 04 Jun 2025

Tangkap layar dari rakaman pengguna TikTok yang kurang senang dengan penganjuran pertandingan tersebut.

ISU sekumpulan pelajar didakwa bermain permainan mudah alih Mobile Legends (ML) dalam ruang Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.

Sebelum ini, seorang pengguna TikTok, Nabilah Hassan yang menyuarakan rasa kurang senang dengan kejohanan berkenaan dengan mengatakan ia akan mengganggu ketenteraman di rumah ibadah berkenaan.

Tampil memberi pendapat mengenai hal berkenaan, mantan Mufti Pahang iaitu Datuk Sri Abdul Rahman Osman menegaskan bahawa aktiviti berunsur lagha (perkara melekakan) tidak sepatutnya diadakan di dalam rumah ibadah.

BACA LAGI: [VIDEO] Masjid IPTA jadi ruang pertandingan permainan video, daya tarikan ke rumah ibadah atau punca gangguan jemaah?

BACA LAGI: Mihrab 3D jadikan ruang solat lebih eksklusif, mendamaikan, nilai estetika istimewa dalam kediaman

Bagaimanapun, beliau tidak menolak sepenuhnya penggunaan teknologi atau permainan digital sekiranya ia membawa unsur pendidikan dan keagamaan, dengan syarat ia tidak mengganggu jemaah yang ada.

"Kalau benda-benda lagha memang dari segi umumnya, memang tak boleh lah. Memang kita kalau di masjid nak cakap hal-hal dunia pun memang tidak boleh, ini pula kalau bermain. Kalau ikut adab ini begitulah.

"Lagi-lagi kalau ia mengganggu orang datang untuk berjemaah. Tapi kalau permainan berkenaan ada perkara mengenal agama, mengenal hukum agama, mengajak selepas tu menarik kepada perhatian untuk solat. Tidak ada gangguan," katanya kepada Majoriti.

Tambah Abdul Rahman, walaupun rumah ibadah itu terletak dalam kawasan universiti, pengurusan dan penggunaan ruangnya tetap tertakluk kepada peraturan Majlis Agama Islam negeri dan perlu meminta izin dengan jawatankuasa masjid.

Hal ini kerana, Abdul Rahman khuatir jika penganjuran pertandingan permainan video atas talian yang dibuat pihak universiti berkenaan dibuat tanpa pengetahuan penuh pihak masjid hingga mengundang fitnah.

"Saya rasa mereka ini ada perbincangan. Kalau tiada persetujuan atau perbincangan dengan jawatankuasa masjid, itu sudah melanggar peraturan. Masjid bukan tempat sembarangan. Ia milik masyarakat, dijaga oleh institusi, dan ada adabnya.

"Benda yang tak betul, tetap tidak betul. Tidak boleh menghalalkan benda yang tak betul. Saya pun tak tahulah kalau terlepas pandang. Walau alam lah. Nak komen lebih, kita tak tahu sebenar.

"Yang pasti, masjid digunakan untuk ilmu. Pasti ada ruang-ruang tertentu yang boleh guna. Misalnya tempat mungkin khusus untuk aktiviti bersukan bukan dalam masjid. Ruangan lain lah, bukan ruang beribadah," jelasnya.

Beliau berharap isu ini dijadikan pengajaran dan menyeru agar pihak masjid serta masyarakat lebih berhati-hati dalam merancang program agar ia kekal dalam landasan syariah dan tidak mencemarkan kesucian rumah ibadah.

Mantan Mufti Pahang iaitu Datuk Sri Abdul Rahman Osman.

Terdahulu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM melahirkan rasa kesal dengan penyebaran maklumat bersifat tuduhan dan fitnah selepas tularnya sebuah video mendakwa masjid di universiti itu dijadikan karnival 'Mobile Legends', selain mempunyai dua jenazah yang sedia untuk disolatkan semasa aktiviti itu sedang berlangsung.

Yang Dipertuanya, Umar Akhtar Ab Malek berkata, sebarang dakwaan atau video yang tersebar itu adalah tidak benar dan amat mengelirukan, sekali gus mencetuskan salah faham terhadap pengurusan masjid UPM serta pihak Pusat Islam.

Katanya, ia bukan sahaja menjejaskan reputasi masjid tetapi turut memberi imej negatif kepada universiti secara keseluruhannya.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum berlaku salah faham baru-baru ini melibatkan pelaksanaan sebuah program pelajar dijalankan dengan kerjasama Pusat Islam UPM, yang pada asalnya dijadualkan bertempat di Bilik Smart Classroom, Masjid UPM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram