10 kesilapan sering dilakukan sewaktu mengubah suai bilik tidur, aspek praktikal kerap kali diabaikan


  • Hias
  • Jumaat, 06 Jun 2025

Ramai terlepas pandang hal-hal kecil ketika ubah suai bilik tidur dan hasilnya, ruang jadi sempit, tidak praktikal serta jauh daripada apa yang diimpikan. — Gambar Hiasan

BILA masuk bab renovasi bilik tidur, ramai terlalu fokus untuk melihat hasil yang cantik sehingga terlupa aspek praktikal.

Akibatnya? Bilik jadi tidak selesa ataupun tahan lama dan akhirnya menyesal kerana kurangnya perancangan awal.

Seorang pencinta dekorasi yang selalu kongsi tip di platform X, Zalya Zahari, menyenaraikan antara kesilapan paling ‘biasa’ tapi beri impak besar.

BACA LAGI: 'Kita mendaki pakai skirt tradisional', pendaki wanita Cholita Mountaineers sarung 'uniform' tradisi Bolivia tawan Gunung Everest

BACA LAGI: Trend hiasan rumah 'baby doll' kembali, menghidupkan zaman kanak-kanak

Kalau anda tengah rancang nak ubah suai bilik, wajib baca sampai habis.

1. Pilih warna dinding ikut sesuka hati

Ramai orang silap bila main pilih warna ikut minat semata-mata.

Contohnya, suka warna hitam terus cat satu bilik, tapi realitinya bukan semua warna sesuai untuk ruang tidur.

Lebih-lebih lagi kalau bilik itu kecil sekali gus warna gelap buat ruang nampak sempit, suram dan rasa 'berat'.

Warna-warna cerah buat ruang nampak lebih lapang, bersih dan menenangkan. — Gambar Hiasan

Solusi? Pilih warna cerah dan lembut macam putih tulen, krim, beige, soft brown atau kelabu muda.

Warna-warna itu buat ruang nampak lebih lapang, bersih dan menenangkan.

Tapi kalau minat dengan warna gelap, tak salah untuk digunakan cuma pastikan hanya satu dinding sahaja (feature wall) dan seimbang dengan warna cerah di sekeliling.

Pasang penyaman udara di bahagian sisi atau menghadap katil supaya pengedaran udara lebih berkesan. — Gambar Hiasan

2. Lokasi pemasangan penyaman udara tidak strategik

Meletakkan unit penyaman udara betul-betul di atas kepala katil merupakan keputusan yang tidak praktikal.

Udara sejuk sukar dirasai dan dalam sesetengah keadaan, ia menimbulkan rasa tidak selesa ketika tidur.

Penyelesaian terbaik ialah pasang penyaman udara di bahagian sisi atau menghadap katil supaya pengedaran udara lebih berkesan.

Malah, itu juga lebih selamat kerana mengurangkan risiko kerosakan terus di atas tempat tidur.

3. Penggunaan lantai atau jubin yang tidak sesuai

Masih ramai memilih lantai bercorak berat atau jenis marmar yang kurang sesuai untuk bilik tidur.

Kini, pilihan lantai seperti SPC (Stone Plastic Composite) lebih digemari kerana tahan lasak, kalis air dan tampil moden.

Dapatkan khidmat pakar lantai bagi memastikan hasil tahan lama dan selesa digunakan. — Gambar Hiasan

Zalya berkongsi elakkan SPC yang terlalu nipis dan murah kerana ia mudah rosak.

Pilih ketebalan yang sesuai atau dapatkan khidmat pakar lantai bagi memastikan hasil tahan lama dan selesa digunakan.

Pilih katil mengikut keperluan dan keluasan bukan semata-mata atas faktor gaya atau prestij demi keselesaan anda. — Gambar Hiasan

4. Saiz katil tidak sesuai dengan ruang bilik

Memilih katil bersaiz besar tanpa mengambil kira keluasan bilik akan menyebabkan ruang menjadi sempit dan tidak selesa untuk bergerak.

Panduan umum:

Bilik kecil: Katil Single

Bilik sederhana: Katil Queen

Bilik luas: Katil King

Pilih katil mengikut keperluan dan keluasan bukan semata-mata atas faktor gaya atau prestij demi keselesaan anda.

5. Rel langsir tidak diletakkan sehingga paras siling

Langsir yang dipasang terlalu rendah dari siling akan menjadikan bilik kelihatan biasa dan kurang menyerlah.

Pasang rel langsir rapat ke siling untuk memberi ilusi ketinggian dan menjadikan ruang tampak lebih eksklusif, seakan-akan dekorasi kediaman mewah.

6. Kekurangan soket elektrik

Tidak merancang bilangan serta lokasi soket elektrik boleh menyebabkan keperluan harian bergantung kepada sambungan wayar tambahan yang serabut dan tidak selamat.

Alya mencadangkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya tiga soket elektrik di dalam bilik, termasuk satu di tepi katil untuk mengecas peranti mudah alih.

Ini bagi memudahkan penggunaan harian tanpa menjejaskan kemasan visual bilik.

7. Penggunaan tombol pintu mudah terkunci

Sesetengah tombol jenis tekan atau putar mudah terkunci secara tidak sengaja.

Terutamanya jika terdapat kanak-kanak di rumah yang mana ini boleh mengundang risiko keselamatan.

Tombol jenis lever juga lebih mudah digunakan oleh semua peringkat usia. — Gambar Hiasan

Pilih tombol pintu yang mempunyai sistem keselamatan dan boleh dibuka dari luar.

Tombol jenis lever juga lebih mudah digunakan oleh semua peringkat usia.

8. Ketiadaan cermin di dalam bilik

Cermin bukan sekadar aksesori, malah elemen penting yang membantu membesarkan ruang secara visual dan memantulkan cahaya semula jadi.

Trend terkini cermin berbentuk gerbang (arch mirror) semakin mendapat tempat dalam rekaan moden.

Ia bukan sahaja bergaya tetapi juga memberi dimensi baharu pada bilik yang kecil atau suram.

9. Lampu asas yang tidak menyumbang kepada persekitaran

Masih ramai yang menggunakan lampu siling jenis kalimantang biasa walaupun reka bentuk bilik sudah moden.

Lampu sebegini kurang membantu dalam mencipta suasana yang nyaman dan mesra pengguna.

Gunakan lampu gantung, lampu sisi katil atau lampu dinding yang lebih menarik dan berwarna cahaya suam.

Kini banyak pilihan lampu bergaya yang ditawarkan pada harga berpatutan.

 

 

10. Cadar katil tidak selari dengan gaya dekorasi

Ruang tidur cantik boleh kelihatan janggal hanya kerana pilihan cadar yang tidak sesuai.

Terutamanya dari segi warna atau corak yang terlalu terang atau bercanggah dengan tema keseluruhan bilik.

Pilihan warna selamat:

- Putih

- Krim

- Coklat lembut

- Kelabu muda

Selain kelihatan tenang, warna itu juga mudah dipadankan dengan apa jua konsep hiasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram