Pakar dedah bagaimana secangkir kopi sehari bawa manfaat bagi wanita pertengahan usia


  • Sihat
  • Khamis, 05 Jun 2025

Kajian terbaharu dapati pengambilan kopi secara sederhana berpotensi membantu wanita pertengahan usia menua dengan lebih sihat. — Freepik

BERITA baik untuk penggemar kopi apabila satu kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa minum secawan kopi setiap hari hadir dengan manfaat kesihatan jangka panjang.

Kajian itu dibentangkan semasa mesyuarat tahunan American Society for Nutrition di Orlando, Amerika Syarikat mendapati bahawa kira-kira 3,700 wanita yang memenuhi kriteria penyelidik sebagai 'penuaan sihat' biasanya mengambil purata 315 mg kafein sehari ketika mereka berusia antara 45 hingga 60 tahun.

Dalam kalangan kumpulan wanita 'penuaan sihat' itu, setiap tambahan satu cawan kopi sehari dikaitkan dengan peningkatan dua hingga lima peratus kebarangkalian untuk kekal sihat seiring peningkatan usia, sehingga maksimum lima cawan kecil sehari.

BACA LAGI: 'Kita mendaki pakai skirt tradisional', pendaki wanita Cholita Mountaineers sarung 'uniform' tradisi Bolivia tawan Gunung Everest

BACA LAGI: Trend hiasan rumah 'baby doll' kembali, menghidupkan zaman kanak-kanak

"Kami dapati wanita yang mengambil kopi berkafein secara sederhana semasa usia pertengahan lebih berkemungkinan untuk menua dengan sihat," kata ketua penyelidik kajian itu, profesor adjung di Jabatan Sains Pemakanan Universiti Toronto, Sara Mahdavi melalui e-mel kepada TIME.

"Ini bukan bermakna kopi adalah penawar segalanya, tetapi bagi mereka yang sudah biasa minum dan dapat menerimanya dengan baik, kopi kelihatan menjadi sebahagian daripada gaya hidup sihat."

Kajian yang belum diterbitkan itu, menganalisis 47,513 jururawat wanita berusia bawah 60 tahun selama tiga dekad bermula pada 1986.

Para penyelidik menanyakan soalan berkaitan diet, termasuk jumlah kopi, teh, minuman kola (air berkarbonat) dan kopi tanpa kafein yang mereka minum.

Mereka kemudian menganalisis berapa wanita yang memenuhi kriteria 'penuaan sihat', selepas hidup sehingga usia 70 tahun atau lebih dengan mengekalkan kesihatan fizikal, kognitif dan mental baik, serta bebas daripada 11 penyakit kronik utama seperti penyakit jantung, strok, diabetes dan kanser.

Pada 2016, penyelidik menentukan bahawa 3,706 wanita memenuhi kriteria itu mendapati kaitan antara status mereka dengan pengambilan kafein.

Kajian tersebut tidak menemui sebarang kaitan ketara antara kopi tanpa kafein atau teh dengan kebarangkalian penuaan sihat.

Manakala bagi minuman kola pula, setiap tambahan satu gelas kecil memperlihatkan penurunan 20-26 peratus untuk menua dengan sihat.

Mahdavi menjelaskan bahawa kopi kaya dengan sebatian bioaktif, termasuk asid klorogenik dan sejumlah kecil mikronutrien mungkin mempengaruhi faktor penting dalam proses penuaan seperti keradangan, fungsi saluran darah dan metabolisme glukosa.

Teh dan kopi tanpa kafein juga mengandungi beberapa bahan tersebut, tetapi dalam kepekatan yang berbeza.

"Minuman kola pula langsung tidak mengandungi bahan-bahan ini, malah mengandungi bahan lain yang mungkin menjejaskan proses penuaan sihat," kata Mahdavi.

"Penemuan kami menunjukkan bahawa manfaat yang diperhatikan adalah khusus kepada kopi berkafein, bukan kafein itu sendiri dan bukan kepada semua minuman berkafein.”

Walaupun Mahdavi menganggap penemuan itu signifikan, beliau mengingatkan agar tidak membuat kesimpulan melulu.

Kajian itu hanya menunjukkan kaitan antara kopi dan penuaan sihat dan bukannya hubungan sebab mahupun akibat pencegahan penyakit kronik.

Penyelidik turut menjelaskan secara umum, minum sehingga dua cawan kopi sehari boleh memberi manfaat, tetapi pengambilan melebihi jumlah itu tidak sesuai untuk sesetengah individu, meskipun ia mungkin memberi manfaat tambahan kepada orang lain.

Tambahan pula, kopi tidak boleh menggantikan faktor lain yang mempengaruhi proses penuaan.

"Wanita yang menua dengan sihat juga lebih cenderung untuk makan secara sihat, bersenam dengan kerap dan tidak merokok yang mana tingkah laku ini jauh lebih penting,” kata Mahdavi.

"Lagipun, lebih banyak bukan semestinya lebih baik. Manfaat paling ketara dilihat pada pengambilan kopi secara sederhana iaitu sekitar dua hingga empat cawan sehari. Mereka yang sensitif terhadap kafein atau mempunyai alasan perubatan untuk mengelaknya masih perlu berbuat demikian.”

"Tetapi bagi wanita pertengahan usia yang sudah pun minum kopi dan berasa baik dengannya, penemuan ini memberi keyakinan," tambahnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram