
MENJADI individu di barisan hadapan bukanlah semudah yang disangka walaupun hanya berinteraksi dengan haiwan.
Berkhidmat sebagai Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia, Dr. Ana Maria Abd Rahim merupakan antara figura penting di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang yang dikelola oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Siapa sangka, itulah titik permulaan membina jati diri beliau sebagai pakar dalam bidang rawatan hidupan liar.
BACA LAGI: Pengiktirafan Dr. Farina cerminan keupayaan pakar konservasi tempatan — MPOGCF
Dr. Ana ketika ditemui di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang baru-baru ini.
Meskipun baru berkhidmat di Kuala Gandah beberapa bulan sejak awal 2025, beliau tidak asing lagi dengan dunia gajah.
Pengalaman 'bagai mati hidup semula'
Ini berikutan sebelum berpindah, Dr. Ana sememangnya kerap mengikuti program translokasi dan menguruskan gajah.
"Kalau ada acara membabitkan gajah, saya yang tunggu gajah itu.
"Selain gajah, saya juga rawat haiwan liar lain seperti harimau belang, harimau kumbang dan beruang matahari," katanya ketika ditemui pada lawatan Suria FM dan portal Majoriti, Vertikal Melayu milik Star Media Group di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah, Pahang, baru-baru ini.
Dr. Ana (tiga dari kiri) ketika dalam tempoh berehat selepas insiden dipijak gajah ketika menyertai operasi translokasi haiwan tersebut di Krai, Kelantan. — Facebook/Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia
Baginya, sekitar 2020 hingga 2021 menjadi tahun bermakna buatnya selepas terlibat dalam tragedi pahit ketika menyertai operasi translokasi gajah liar di Krai, Kelantan.
"Saya pertama kali berurusan dengan gajah dan waktu itu kami dalam proses memindahkan gajah liar yang masuk dalam kebun orang.
"Kejadian berlaku ketika saya sedang kemas beg ubat. Dek terlampau ralit mengemas sehingga tak sedar dengan keadaan sekeliling.
"Waktu itu ada seekor gajah datang dekat, rupanya rantai gajah liar tadi putus.
"Orang lain semua dah sembunyi dan tinggal saya seorang. Derapan tapak kaki gajah pun tiada," katanya sambil menambah bahawa posisinya ketika itu dalam keadaan menunduk.
Ia berlaku dengan pantas, gajah tersebut terus menyerangnya dari hadapan dan memijak badan beliau.
"Saya terlentang, rusuk kiri dan kanan, tujuh dan lapan batang patah. Bahu juga patah.
"Kemudian saya dimasukkan dalam unit rawatan rapi (ICU), ditidurkan 19 hari. Alhamdulillah, saya bangun, tetapi dalam kesakitan.
"Selama tiga bulan jalani rawatan di hospital, tiga bulan lagi saya rehat di rumah," katanya sambil menambah terpaksa mengambil cuti sakit selama enam bulan.
Tanggungjawab
Walaupun mengalami pengalaman pahit sehingga menyebabkan trauma sehingga sekarang, semangat beliau tidak pernah luntur dan masih meneruskan tanggungjawabnya di Kuala Gandah.
Baginya, ia adalah tanggungjawab yang perlu digalas sebagai seorang pegawai perubatan hidupan liar.
"Selepas kejadian itu, saya tetap terima tugas di Kuala Gandah kerana sayang jika tinggalkan bidang ini," jelasnya.
Katanya lagi, petugas-petugas di pusat itu juga menjadi penguat semangat dalam meneruskan kerjayanya.
Minat dan rasa tanggungjawab yang tinggi tidak menghalang Dr. Ana (kanan) meneruskan kerjayanya.
Langkah berjaga-jaga
Dr. Ana berkata, bekerja dengan haiwan liar memerlukan daya fokus dan kepekaan yang tinggi.
Hal ini kerana tidak semua haiwan mudah untuk dikendalikan atau dirawat.
"Selain gajah, merawat harimau kumbang juga sangat mencabar kerana tidak dapat menjangkakan pergerakan mereka.
"Kita sebagai doktor perlu tahu. Contohnya, bila haiwan ini sudah dibius dan tidur.
"Apa yang kita perlu buat adalah berjaga-jaga terutama beberapa minit ia akan sedar.
"Perlu kira berapa minit ubat bius itu bertahan, berapa lama haiwan akan tidur dan bila ia dah bangun pun perlu peka," ceritanya lanjut.
Terdedah risiko penyakit
Ditanya pula tentang risiko mendapat penyakit berjangkit daripada haiwan liar yang dirawat, Dr. Ana tidak menafikan perkara tersebut.
Ujarnya, doktor veterinar sememangnya terdedah dengan risiko mendapat penyakit bawaan hidupan liar yang dipanggil sebagai zoonotik.
"Disebabkan itu, kami perlu pastikan untuk sentiasa memakai pakaian perlindungan diri (PPE), penutup muka dan ambil vaksin rabies (jangkitan serius disebabkan oleh virus daripada haiwan pembawa rabies)," katanya.
Melihat konflik melibatkan habitat haiwan liar yang semakin kurang di Malaysia, Dr. Ana sempat menitipkan pesanan demi kesejahteraan ekosistem negara.
"Hidupan liar di Malaysia semakin rendah. Sebab hutan ditebang untuk bangunkan rumah dan tanam makanan manusia.
"Kita seharunya ada zon khas dan perlu biarkan hutan ada untuk elak habitat hidupan liar pupus," tuturnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram