
AKTIVITI melakukan persiapan sesebuah majlis perkahwinan kekal menjadi antara tradisi penting dalam kalangan masyarakat Melayu.
Kebiasaannya, persiapan itu dilakukan oleh ahli keluarga termasuk pengantin sekiranya mempunyai masa terluang.
Bukan sekadar mencerminkan semangat gotong-royong atau kerjasama, tradisi itu juga dapat mewujudkan keharmonian pada masa sama mengukuhkan hubungan silaturahim sesama keluarga.
BACA LAGI: [VIDEO] Rapat sejak kecil, Mekyun hanya mampu senyum walau sebak 'lepaskan' Abe Wee kahwin
Sama seperti video sekitar persiapan sebuah majlis perkahwinan di Perak yang dikongsikan pengguna akaun TikTok @einshazreena baru-baru ini.
"Menjelang majlis perkahwinan, saudara-mara pengantin perempuan akan bergotong-royong menyiapkan bilik pengantin.
"Di beberapa kawasan luar bandar di Perak, adat ini masih dipraktikkan dengan penuh semangat kekeluargaan dan kebersamaan," tulisnya.
Lebih menarik perhatian apabila cadar baldu merah dengan tekatan benang emas yang dilihat masih diamalkan.
Menurutnya, cadar sejak 1979 itu juga masih kelihatan baharu dan cantik untuk digunakan.
Mungkin ramai tidak tahu, tekatan merupakan antara karya seni hiasan tradisional tekstil Melayu yang terkenal di Semenanjung Malaysia terutama di Perak.
Seni tekatan menggunakan benang emas atau perak itu pula akan dijahit secara timbul di atas kain dasar untuk membentuk corak menarik dan lebih menonjol.
Setiap hiasan itu juga diisi mengikut mempulur bercorak untuk menampakkan kesan timbul pada tekatan tersebut.
Antara bahan utama yang digunakan dalam proses pembuatan tekatan itu adalah pemidang kayu, mempulur, benang emas atau perak, kayu geligin, jarum jahit tangan, kain dasar (baldu) dan kain lapis (kapas).
Selain dijadikan sebagai sarung tilam atau bantal bilik pengantin, cadar baldu tersebut turut boleh dijadikan hiasan pelamin ketika bersanding. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram