Pernah diuji hilang kerja, wanita cekal Serendah bangkit realisasi angan-angan buka bisnes cuci pakaian, bersihkan rumah sekitar PJ


  • Bisnes
  • Selasa, 03 Jun 2025

Nur Asilah memasang impian untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

AWALNYA sekadar angan-angan, siapa sangka impian Nur Asilah Mohd untuk menceburi bidang perniagaan kini menjadi realiti.

Bayangan yang dirancang sejak tiga tahun lalu itu akhirnya terhasil dan membuka lembaran baharu dalam hidupnya lebih-lebih lagi selepas dia kehilangan peluang pekerjaan yang sepatutnya menjadi kejayaan dalam kerjayanya sebagai ahli korporat.

"Saya dah terima tawaran kerja daripada sebuah syarikat kecil tempatan. Tetapi, disebabkan beberapa isu dalaman, tawaran itu dibatalkan saat akhir," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Sampai bergaduh nak minta 'password', ibu terkedu lihat banyak aplikasi ‘dating’ dalam gajet anak gadis

BACA LAGI: Jadi 'mood booster', syarikat di India lantik anjing sebagai Ketua Pegawai Kebahagiaan

Terdapat juga perkhidmatan membersihkan rumah atau pejabat.

Ketiadaan pekerjaan ketika itu membuka ruang untuk Nur Asilah kembali menghidupkan semula idea lama yang pernah terhenti di tengah jalan.

Dengan sokongan rakan dan orang sekelilingnya, wanita berusia 40 tahun memberanikan diri memulakan perniagaan kecilnya, Tidy Services yang menawarkan perkhidmatan mencuci pakaian, melipat baju dan membersihkan rumah sekitar kawasan Petaling Jaya, Selangor.

Perniagaan yang baru dijalankan selama sebulan sejak awal Mei lalu itu juga dilakukan dari rumahnya.

Memasang impian besar untuk mempunyai premis khas atau pejabat, Nur Asilah merancang untuk menghasilkan satu platform secara dalam talian yang menyediakan perkhidmatan sedemikian.

Selain memudahkan individu yang bekerja atau tiada masa untuk menguruskan keperluan harian, platform tersebut turut akan membuka peluang kepada golongan suri rumah untuk menjana pendapatan.

"Buat masa sekarang saya mulakan operasi sendiri dari ambil pakaian, mencuci, keringkan dan hantar semula kepada pelanggan.

"Jadi, saya rancang untuk sediakan platform yang sediakan perkhidmatan e-hailing menerusi satu aplikasi.

"Dalam aplikasi itu, individu yang berdaftar boleh pilih untuk bekerja atau gunakan perkhidmatan kami," jelasnya.

Katanya, lokasi Petaling Jaya dipilih kerana ia lebih strategik dan tidak terlalu sibuk jika mahu dibandingkan dengan Kuala Lumpur.

Manakala, operasi membersihkan rumah pula dijalankan dengan bantuan rakan, ahli keluarganya setakat ini.

Perkhidmatan Tidy Services dilakukan sekitar kawasan Petaling Jaya.

Menurutnya, perkhidmatan itu memerlukan tenaga kerja lebih banyak dan pembayaran pula dicarj mengikut jumlah pekerja yang bertugas untuk pembersihan rumah.

Selaras dengan misinya untuk membantu golongan kurang berkemampuan, harga yang ditawarkan juga berpatutan iaitu serendah RM18 bagi satu beg pakaian seberat 7 kilogram (kg) dan RM40 sejam seorang (pekerja) dengan minimum waktu selama dua jam untuk membersihkan sebuah rumah.

"Perkhidmatan membersihkan itu juga termasuk bangunan pejabat dan rumah usang yang dalam proses naik taraf," katanya.

Demi menjayakan visinya, Nur Asilah juga memerlukan beberapa pekerja tetap yang mampu membawa perniagaannya ke tahap lebih tinggi.

Dia kini giat menghasilkan kertas kerja untuk mencari syarikat teknologi yang mahu melabur dalam perniagaannya.

Semangat ibu tunggal

Di samping menjalani hidup sebagai wanita bekerjaya, ibu tunggal kepada dua anak lelaki berusia 10 dan 8 tahun itu tidak menafikan ia satu cabaran baharu buatnya.

Nur Asilah perlu menyeimbangkan tanggungjawabnya sebagai ibu pada masa sama tidak lupa tugasnya menjadi ketua keluarga.

Nur Asilah (tengah) bersama dua anak lelakinya.

"Saya sangat bersyukur kerana masih mempunyai ibu bapa yang sihat dan sudi menjaga anak-anak sementara saya bekerja.

"Anak-anak pun sudah agak besar dan faham keadaan saya," katanya.

Namun, Nur Asilah tidak menafikan, emosinya sesekali terganggu apabila terpaksa mengorbankan masa bersama anak-anak pada hujung minggu kerana ia waktu yang digunakan untuk mengambil lebih banyak tempahan.

"Bila tengok mereka, rasa bersalah tu ada. Mereka masih kecil dan bapa mereka pula jauh di Perak. Jadi, saya rasa tanggungjawab tu sangat berat.

"Tetapi, hidup perlu diteruskan dan saya anggap ini sebagai wake up call. Mungkin rezeki ALLAH nak bagi untuk kita lebih berusaha," ujarnya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pasukan Tidy Services amat dialu-alukan dan boleh menghubungi Nur Asilah di talian 019-2066019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram