
ANAK kepada angkasawan dan figura terkenal, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, dikhabarkan terpilih untuk menyertai Program Pembangunan Sukan Bakat Olimpik 2025/2026 dalam acara renang.
Berita gembira juga dikongsikan Sheikh Muszaphar menerusi laman Instagramnya pada Rabu.
Menerusi hantaran tersebut, anak keduanya, Sophea Natasha, 12, berjaya melangkah lebih jauh sebagai atlet cemerlang.
BACA LAGI: 'A late bloomer', Sheikh Muszaphar kongsi perubahan anak ke-2 dari 'introvert' ke 'outspoken'
Beliau pada masa sama bersyukur dengan kegigihan dan disiplin anaknya demi meraih pencapaian itu.
"Alhamdulillah, semua kerja kerasnya, it’s finally paying off. Ini bermakna akan ada lebih latihan.
"Pagi pukul 5.30 hingga 7.30 pagi. Petang pula pukul 7 hingga 9.30 malam. Enam hari seminggu bermula minggu depan," katanya sambil berkongsi jadual padat Tasha yang perlu dijalani setiap hari.
Walaupun terikat dengan pelbagai latihan sukan, Sheikh Muszaphar, 53, tetap tidak melupakan pencapaian akademik anak perempuannya itu.
"Daddy pun pening, pagi sekolah kebangsaan, petang sekolah rendah agama, Subuh dan malam di kolam renang.
"Dengan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) akan datang, Pertandingan Matematik Olimpiad minggu ini.
"Awak boleh lakukan ini Tasha. Ibu dan ayah sentiasa sokong awak," tambahnya.
Sebelum ini, Tasha turut mencipta kejayaan dalam acara larian di kejohanan Superhero Track & Field Championship 2025 apabila mengungguli tempat pertama bagi kategori 1,200 meter (m) dan 4x200 m.
Turut memahat sejarah di peringkat antarabangsa, Tasha dan empat lagi adiknya turut mencatat keputusan cemerlang pada penyertaan pertandingan Bahasa Inggeris antarabangsa, Global English Language Olympiad Southeast Asia (GELOSEA) di Incheon, Korea Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram