
"SAYA tiada alahan langsung, tetapi wajah saya berubah 100 peratus sejak dua bulan mengandung.”
Itulah luahan seorang wanita, Ayyitslala yang menceritakan pengalaman kehamilan pertamanya yang mengejutkan ramai iaitu mengalami perubahan ketara pada wajah.
Melalui hantaran di laman X (dahulu dikenali sebagai Twitter), Ayyitslala berkongsi gambar dirinya sebelum dan semasa mengandung.
BACA LAGI: [VIDEO] Pesona adibusana Syahrini dan Cinta Laura menyinar di Festival Filem Cannes 2025
Gambar tersebut memaparkan wajahnya yang dulunya berseri, tetapi kini mengalami kesan jerawat teruk, kulit seperti terbakar, hidung membengkak serta kedutan ketara yang menyerupai wajah orang tua.
“Produk penjagaan kulit langsung tidak berkesan. Saya mengalami jerawat pustule setiap hari, garis senyuman semakin dalam dan garisan di atas kening mula kelihatan.
"Semakin hampir tarikh jangkaan bersalin, semakin banyak garis baru muncul,” tulisnya sambil memaklumkan kini sudah memasuki bulan kelapan kehamilan.
Simpan sini, untuk remind diri sendiri yang semua ni temporary and my face akan balik macam ni balik. Untuk khaseh azra, semoga awak lahir sihat, cantik dan cukup sifat. Aminn pic.twitter.com/dL5j4e3Sp1
— FLS (@ayyitslala) May 17, 2025
Walaupun mengakui berasa kurang yakin dengan penampilan, Ayyitslala bersyukur kerana mempunyai suami yang sentiasa memberi sokongan emosi dan kata-kata semangat ketika dirinya mula berasa sedih.
"Suami selalu berpesan bahawa semua ini hanya sementara dan saya masih cantik di matanya. Dia memuji saya setiap hari.
"Tanpa sokongan suami dan kawan baik, mungkin saya sudah hilang kawalan kerana asyik menangis," ujarnya.
Dalam hantaran yang kini meraih ribuan tanda suka, Ayyitslala menjelaskan niatnya bukan hanya untuk berkongsi cerita, tetapi untuk mendidik masyarakat bahawa kehamilan tidak semestinya membuatkan seseorang kekal cantik.
"Saya berkongsi supaya dapat memberi kesedaran dan kekuatan kepada ibu mengandung yang mengalami perkara sama bahawa anda tidak keseorangan.
"Saya sendiri pernah menangis dan bertanya kawan, ‘Mengapa orang lain mengandung nampak berseri, tapi saya tidak?’," katanya.
Ayyitslala memuat naik semula gambar wajahnya sebelum mengandung sebagai motivasi dan peringatan bahawa perubahan ini hanya bersifat sementara.
“Saya simpan gambar ini sebagai peringatan bahawa semua ini hanyalah sementara. Untuk Khaseh Azra, semoga awak lahir dengan sihat, cantik, dan sempurna. Amin," katanya.
Kisah Ayyitslala menerima pelbagai reaksi positif terutamanya daripada kaum ibu yang memahami pengalaman sukar semasa mengandung.
Ramai yang tampil memberikan kata-kata semangat dan sokongan moral.
"Anda sangat hebat, kakak. Semoga selamat bersalin dan kembali lebih cantik dari sebelumnya!," kata SyuhadaShud.
"Itulah sebab ALLAH meletakkan ibu di tempat tinggi. Mungkin ini kesan hormon. Orang tua-tua juga percaya jika ibu tidak cantik semasa mengandung, anaknya akan comel lote," kata YantiHi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram