
SEORANG wanita berkongsi pengalaman pahit dilalui sepanjang tempoh dua minggu berpantang bersama penjaga ataupun confinement lady (CL).
Dijanjikan pelbagai pakej menarik bak bulan dan bintang, realitinya perkhidmatan diberikan tidak setara dengan nilai lebih RM3,000 dibayar untuk seorang penjaga yang tinggal bersama di kediamannya.
Kronologi kisah getir itu berlaku sebaik bayinya dimasukkan semula ke hospital atas faktor kesihatan, pada hari yang sama CL itu mula bekerja.
BACA LAGI: [VIDEO] Tampil unik, jurusolek popular India dandan rambut pengantin perempuan replika ikan
Pakej CL kebiasaannya merangkumi masakan berpantang berdasarkan jenis pakej dipilih. — Gambar hiasan
Pakej merangkumi penjagaan ibu dan bayi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam itu dilengkapi masakan pantang, cucian pakaian bayi, mandian herba serta rawatan sauna empat kali seminggu.
Namun, realitinya sama sekali tidak seperti dijanjikan dan apa yang dilalui nyata meninggalkan kesan mendalam buat @datzmi.
Langgar perjanjian
Pada awalnya, CL itu difahamkan menunjukkan kelakuan yang baik dan kemas dalam penjagaan bayi.
Namun, lama kelamaan mula berubah dan tidak menjalankan kerja seperti dijadualkan dalam perjanjian asal.
"Saya dah maklumkan bayi menyusu setiap dua jam, tapi semasa saya mandi, saya terdengar anak menangis. Bila keluar, penjaga sudah beri susu dari peti ais tanpa bertanya.
"Apabila ditegur, jawapan diterima bayi lelaki minum banyak puan, dia lapar, kejadian sama berulang banyak kali walaupun telah diberitahu dengan jelas.
Situasi lebih buruk apabila wanita itu mendapati susu badannya mula berkurang selepas berulang kali diminta oleh CL berkenaan.
"Saya dah penat emosi, bila dia tekan saya untuk beri lebih, saya rasa sangat lemah.
"Masalah tidak terhenti di situ, mandian herba yang disediakan menyebabkan timbul benjolan dan ruam kecil pada kulit," ujarnya.
Bahkan, rawatan sauna yang dijanjikan pula langsung tidak diberikan walaupun sekali.
Bayaran tambahan
Penjaga tersebut yang sebelum ini secara sukarela menawarkan diri mencukur rambut bayi, difahamkan tiba-tiba meminta bayaran RM50 untuk perkhidmatan itu.
"Saya terkejut, kalau beritahu awal saya mungkin pertimbangkan. Tapi tiba-tiba minta bayaran pada hari terakhir sangat tidak profesional," katanya.
Penjaga tersebut kemudiannya meminta untuk bergambar bersama ibu bapa dan bayi sebagai kenangan usai tamat tempoh penjagaan selama dua minggu.
Beberapa hari kemudian, individu terbabit menghubunginya menggunakan nombor peribadi yang diperoleh daripada syarikat untuk meminta gambar tersebut.
"Saya terkejut bagaimana dia boleh dapat nombor saya, bila ditanya syarikat, mereka ingat kami ada hubungan yang baik dan terus berikan nombor saya," ujarnya kesal.
Penyesalan dan pengajaran
Menjelaskan keputusan mengambil perkhidmatan CL adalah demi kesejahteraan dan keselesaan si bayi, bukan kepentingan diri sendiri.
Namun, pengalaman dilalui telah memberikan kesan emosi mendalam pada saat yang sepatutnya menjadi tempoh pemulihan buat ibu bersalin.
"Saya baca banyak ulasan positif daripada ibu-ibu lain dan selebriti, tapi malangnya, pengalaman saya jauh berbeza," katanya.
Enggan orang ramai berdepan pengalaman sama, individu terbabit berharap agar kisah perkongsian itu menjadi pengajaran buat wanita lain yang sedang mempertimbangkan perkhidmatan penjaga pantang.
"Saya bayar untuk sokongan dan ketenangan, tapi sebaliknya saya dapat tekanan dan kekecewaan,” katanya mengakhiri ciapan di laman Threads. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram