Landskap 'indoor' terapi hijau, menyatukan alam dengan seni bina dalaman rumah


  • Hias
  • Ahad, 01 Jun 2025

Kediaman moden hari ini turut menerapkan landskap di dalam rumah membantu memberi ketenangan dan mood relaks. — Gambar hiasan

DALAM dunia rekaan kediaman moden, landskap bukan lagi terhad kepada laman luar.

Kini, konsep landskap indoor semakin mendapat tempat di hati pemilik rumah yang mahukan ruang hijau menyegarkan, tenang dan menyatu indah dengan seni bina dalaman.

Landskap dalam rumah bukan sahaja menambah keindahan ruang, malah memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental.

BACA LAGI: Landskap tropika premium, seni halaman kediaman sentuhan profesional, bukan sekadar pokok dan rumput

BACA LAGI: Pokok kemboja cantik tapi akar rosakkan struktur bangunan? Arkitek landskap perjelas fakta sebenar

Pemilik hari ini kini bukan sahaja menitikberatkan landskap luar rumah, bahkan turut menerapkan elemen hias yang sama di dalam kediaman.

Bezanya dengan landskap luar ialah keperluan pencahayaan dan pengairan yang lebih terkawal.

Rumput dan pokok boleh hidup subur di dalam rumah, asalkan disesuaikan dengan keadaan cahaya serta penjagaan asas seperti siraman dan pengudaraan.

Menurut Pengasas Mydezine dan pakar landskap, Humaidi Habib, rumput jenis Japanese Grass sangat sesuai digunakan dalam ruang tertutup kerana teksturnya yang halus dan rapi.

"Ia mudah dijaga dan memberi kesan visual yang sangat bersih dan kemas,” jelasnya kepada Majoriti.

Bagi tanaman lain, antara sering menjadi pilihan termasuk pachyra aquatica, sansevieria dan rhapis excelsa yang mana semuanya terkenal dengan daya tahan dan keupayaan hidup dalam cahaya malap.

Landskap yang baik bukan sekadar untuk mencantikkan rumah, tetapi bertindak sebagai terapi semula jadi.

Elemen landskap seperti batu chipping, sistem saliran bawah tanah (subsoil drain), serta gabungan pelbagai jenis tanah dan baja khas digunakan bagi memastikan kelembapan tanah sentiasa terkawal dan tidak menyebabkan bau atau pembiakan serangga.

Antara ruang dalam rumah yang sesuai dijadikan taman mini termasuk kawasan tengah rumah yang menghubungkan ruang tamu, dapur, bilik air dengan paparan sky glass, serta sudut relaksasi untuk sarapan pagi atau waktu bersantai.

Pemilik rumah sering memilih rekaan yang tidak terlalu padat tetapi cukup untuk menimbulkan rasa segar dan mendamaikan.

Antara ruang dalam kediaman yang sesuai dijadikan taman mini ialah kawasan tengah rumah.

Bagi pemilik rumah, Lee Laychen, keputusan untuk membina landskap di dalam rumah dibuat sejak awal pembinaan lagi.

"Saya memang mahukan sesuatu yang dekat dengan alam tetapi tidak perlu keluar rumah.

"Ruang kecil ini cukup untuk saya minum kopi, tenangkan fikiran dan rasa lebih ‘hidup’,” katanya.

Tambah Laychen, walaupun dia tidak mahir berkebun, pilihan tumbuhan yang mudah dijaga amat membantunya mengekalkan kehijauan taman mini tersebut.

Bagi memastikan hasil yang optimum, kerja-kerja landskap biasanya dirancang sejak awal bersama arkitek dan pereka dalaman.

Kerja-kerja landskap biasanya dirancang sejak awal bersama arkitek dan pereka dalaman.

Ini bagi mengelakkan kedudukan taman mengganggu aliran pergerakan atau fungsi ruang.

Kos untuk membina landskap indoor'boleh mencecah sekitar RM10,000 bergantung pada jenis tumbuhan, bahan yang digunakan dan skala rekaan.

Namun, hasilnya bukan sahaja menambah nilai estetik, malah meningkatkan kualiti hidup penghuninya.

Landskap yang baik bukan sekadar untuk mencantikkan rumah tetapi ia juga bertindak sebagai terapi semula jadi.

Bayangkan pulang ke rumah dan disambut kehijauan pokok yang menyegarkan terus rasa penat terus hilang.

Konsep landskap indoor jelas bukan sekadar trend, tetapi satu bentuk pelaburan dalam ketenangan dan kesejahteraan hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram