Jangan letak almari sembarangan, ini 5 lokasi pantang dalam bilik tidur


  • Hias
  • Sabtu, 31 Mei 2025

Kedudukan almari yang salah boleh mengganggu kualiti tidur serta kesejahteraan emosi. — Agensi

ALMARI pakaian bukan sekadar tempat menyimpan pakaian, ia juga memberi impak besar terhadap keselesaan dan keseimbangan bilik tidur anda.

Walaupun penting dari segi fungsi, saiznya yang besar boleh mendominasi ruang dan mencacatkan aliran tenaga jika diletakkan di tempat yang tidak sesuai.

Sama ada anda mengambil kira aspek praktikal, estetika mahupun prinsip Feng Shui, pemilihan lokasi almari dalam bilik perlu dibuat dengan teliti.

BACA LAGI: Rahsia biru navy, warna 'timeless', ruang tampak mewah, mampu lonjak nilai harga rumah — Pakar hartanah

BACA LAGI: Kerusi anyaman buatan tangan OKU, elemen tradisi penyeri dekorasi

Pakar Feng Shui, Jan Cisek, dengan pengalaman lebih 40 tahun, kedudukan almari yang salah bukan sahaja menyukarkan pergerakan dan penggunaan bilik, malah boleh mengganggu kualiti tidur serta kesejahteraan emosi.

Berikut lima lokasi yang tidak digalakkan untuk meletakkan almari dalam bilik tidur, menurut pakar rekaan dalaman dan Feng Shui:

Elakkan meletakkan almari atau storan gantung di atas katil kerana ia boleh menimbulkan tekanan psikologi dan mengganggu tidur. — Agensi

1. Di atas katil

Meletakkan almari gantung di bahagian atas kepala katil mungkin nampak menjimatkan ruang, tetapi ia boleh menimbulkan tekanan psikologi dan rasa tidak selesa.

"Almari di atas kepala katil boleh membuat ruang tidur terasa menyesakkan dan mengganggu tidur. Dalam Feng Shui, ia dipercayai menimbulkan tenaga tidak stabil,” kata Jan.

Sebaliknya, gunakan ruang dinding untuk elemen lebih ringan seperti hiasan, seni atau cermin.

Cermin yang memantulkan katil dianggap membawa tenaga tidak stabil dalam Feng Shui dan boleh menjejaskan kualiti tidur. — Agensi

2. Bertentangan dengan katil

Dalam bilik kecil, almari yang menghadap terus ke arah katil boleh membuat bilik kelihatan padat dan sesak, apatah lagi jika ia mempunyai pintu cermin.

Cermin yang memantulkan imej katil juga boleh mengganggu tidur dari segi tenaga dan cahaya yang berlebihan pada waktu malam.

Untuk ruang sempit, pilih almari pintu gelangsar sebagai alternatif praktikal.

Almari yang terlalu hampir dengan pintu boleh menyekat laluan dan menyebabkan bilik terasa sempit. — Agensi

3. Terlalu dekat dengan pintu

Almari yang terlalu hampir dengan pintu masuk boleh menyekat laluan dan menjadikan bilik rasa sempit dan tidak mesra.

"Susunan sebegini mengganggu aliran semula jadi tenaga ke dalam bilik, serta mewujudkan rasa tidak selesa," jelas Jan.

Letakkan almari di bahagian sisi dinding supaya ruang pintu kekal terbuka dan lapang.

Meletakkan almari dekat tingkap boleh menghalang cahaya semula jadi dan buat bilik kelihatan suram. — Agensi

4. Berdekatan tingkap

Meletakkan almari terlalu dekat dengan tingkap boleh menghalang cahaya semula jadi dan menjadikan bilik kelihatan gelap, sempit dan berat secara visual.

Ia juga menjejaskan keseimbangan suasana bilik secara keseluruhan.

Letak almari di tengah-tengah bilik bukan saja menyekat laluan, malah mengganggu keseimbangan ruang. — Agensi

5. Di tengah-tengah bilik

Meletakkan almari di tengah bilik bukan sahaja menyekat laluan, malah menjadikannya kelihatan seperti objek besar yang mengganggu, bukannya perabot yang menyatu dengan ruang.

"Almari sepatutnya meningkatkan fungsi bilik, bukan menjadi halangan," ujar Lucy, pakar rekaan dalaman.

Pilihan terbaik ialah almari bina dalam atau rekaan yang disesuaikan dengan bentuk dan saiz bilik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram