Teringin ubah suai kamar mandi? Elak 7 perkara ini kalau tak nak menyesal kemudian hari


  • Hias
  • Khamis, 29 Mei 2025

Renovasi kamar mandi bukan sekadar menukar jubin atau kelengkapan baharu, tetapi melibatkan pemikiran jangka panjang tentang penggunaan harian.

BILIK air moden bukan hanya perlu cantik dipandang, tetapi juga praktikal dan mudah diselenggara.

Dalam keghairahan merancang ubah suai, ramai pemilik rumah terlepas pandang aspek penting yang hanya disedari selepas penggunaan harian dan akhirnya timbul rasa kesal.

Perkongsian jujur oleh Zalya Zahari di platform X membongkar beberapa kesilapan biasa yang sering dilakukan ketika pemilik rumah membina semula bilik air.

BACA LAGI: Sanggup gerak pukul 4 pagi dari Pulau Pinang ke Bukit Jalil tengok 'game' MU, kejutan hari jadi anak pengikat kasih keluarga

BACA LAGI: Rekaan biophilic akses kepada alam semula jadi, gaya hidup hijau buat kediaman lebih tenang

Sama ada anda sedang merancang renovasi atau hanya ingin menambah baik ruang sedia ada, senarai itu boleh dijadikan panduan berguna agar anda tidak menyesal di kemudian hari.

Jubin berwarna gelap mudah kelihatan pudar.

1. Penggunaan jubin berwarna hitam atau gelap

Walaupun kelihatan elegan dan moden, jubin berwarna gelap terutamanya hitam sebenarnya memerlukan penjagaan rapi.

Warna itu mudah kelihatan pudar dengan kesan putih akibat sabun dan air, menjadikannya cepat kelihatan kotor.

Jika anda kurang masa untuk menyental dan membersihkan secara kerap, pilihan jubin itu mungkin bukan yang terbaik untuk anda.

Kos baik pulih concealed shower boleh meningkat kerana memerlukan kerja memecah jubin untuk mengakses paip.

2. Menanam paip 'shower' dalam dinding

Reka bentuk shower tersembunyi (concealed shower) memang memberikan hasil akhir yang kemas dan minimalis.

Namun, jika berlaku kebocoran, kos baik pulih boleh meningkat kerana memerlukan kerja memecah jubin untuk mengakses paip.

Jika bajet anda terhad atau ingin elak kerja ubah suai tambahan di masa depan, pertimbangkan untuk menggunakan sistem paip yang mudah diakses.

'Shower glass'  memerlukan penjagaan yang konsisten.

3. Memasang dinding 'shower glass'

Panel kaca 'shower glass' sering digunakan untuk mencipta ilusi ruang yang lebih luas dan moden.

Tetapi, ia memerlukan penjagaan konsisten dan jika tidak dilap selepas mandi, kesan sabun serta wap air akan meninggalkan watermark yang sukar ditanggalkan.

Jadi, jika anda sibuk dan kurang masa membersih setiap hari, panel kaca mungkin menjadi beban berbanding manfaat.

Ramai pemilik rumah terlepas pandang untuk menambah ruang menyimpan sabun dan botol mandian.

4. Tidak sediakan ruang khusus untuk sabun dan keperluan mandi

Ramai pemilik rumah terlepas pandang untuk menambah niche atau ruang dalam dinding untuk menyimpan sabun dan botol mandian.

Akibatnya, bilik air menjadi serabut dengan rak tambahan yang menyempitkan ruang.

Penyelesaian jangka panjang lebih praktikal ialah menyediakan ruang built-in yang kemas dan menjimatkan ruang.

Kepala paip murah juga lebih cenderung untuk rosak dengan cepat.

5. Menggunakan kepala paip warna hitam atau berkualiti murah

'Fittings' berwarna hitam memang bergaya, namun kurang tahan lama jika tidak berkualiti tinggi.

Warna akan mudah pudar dan kelihatan kotor dengan kesan sabun putih.

Malah, kepala paip murah juga lebih cenderung untuk rosak dan bocor dalam masa singkat.

Pelaburan pada peralatan berkualiti tinggi akan lebih berbaloi dalam jangka masa panjang.

Bowl sink menyukarkan pengguna yang bertubuh rendah.

6. Pemasangan 'bowl sink' yang tidak sesuai

Sinki jenis mangkuk yang terletak di atas kabinet (bowl sink) mungkin kelihatan estetik, tetapi tidak semua pengguna selesa menggunakannya.

Ketinggian tambahan akibat reka bentuk ini menyukarkan pengguna yang bertubuh rendah dan boleh menyebabkan siku sering terlanggar permukaan.

Pastikan sinki dipilih sesuai dengan ketinggian dan keselesaan harian.

Tanpa cermin besar, bilik air mungkin terasa sempit dan kurang cerah.

7. Tidak memasang cermin besar

Ramai tidak sedar bahawa penggunaan cermin besar boleh mencipta ilusi ruang lebih luas dalam bilik air yang kecil.

Ini adalah trik yang sering digunakan dalam hotel.

Tanpa cermin besar, bilik air mungkin terasa sempit dan kurang cerah.

Menambah cermin besar bukan sahaja dari segi fungsi, tetapi turut meningkatkan estetika keseluruhan ruang.

Renovasi bilik air bukan sekadar menukar jubin atau kelengkapan baharu, tetapi melibatkan pemikiran jangka panjang tentang penggunaan harian, penyelenggaraan dan keselesaan.

Dengan mengambil kira pengalaman serta penyesalan pengguna lain seperti dikongsikan Zalya Zahari, anda boleh mengelakkan kesilapan biasa dan membina ruang bilik air yang bukan sahaja cantik tetapi praktikal untuk bertahun lamanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram