
LANGKAH berani jenama fesyen lelaki terkemuka dari China, Lilanz, menyaksikan Malaysia dipilih sebagai lokasi pertama dalam pengembangan global mereka, menerusi pembukaan butik antarabangsa pertama di SkyAvenue, Resorts World Genting.
Terletak di salah satu destinasi pelancongan dan hiburan paling ikonik di Asia Tenggara, butik itu menandakan detik penting dalam sejarah hampir empat dekad Lilanz sebagai pelopor gaya business casual lelaki yang bergaya tetapi tetap selesa.
Majlis pelancaran tersebut diserikan oleh kehadiran Pengarah Eksekutif dan Naib Presiden Lilang (China) Co., Ltd., Wang Jun Hong, yang menyatakan keterujaannya terhadap potensi pasaran Malaysia.
BACA LAGI: Nampak cantik tapi buat ramai menyesal, 9 kesilapan renovasi dapur patut tahu
BACA LAGI: Mengapa sebegitu mudah cinta suami berubah? Pudarnya kasih sayang, kesan hati mulai menjauhi Tuhan
Wang (dua dari kanan) merasmikan butik antarabangsa pertama Lilanz di SkyAvenue, Resorts World Genting.
Baginya, Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah ibu kota yang pesat membangun, tetapi juga pusat yang penuh warna-warni budaya, kepelbagaian dan dinamik.
Ia merupakan faktor-faktor yang selari dengan semangat dan nilai yang dipegang oleh Lilanz.
Jenama yang diasaskan oleh adik-beradik Wang pada 1987 itu bermula sebagai bengkel kecil sebelum berkembang menjadi kuasa besar dalam industri fesyen lelaki China.
Menurut Wang, Lilanz kini mengendalikan lebih 2,700 butik di seluruh China dan berjaya menjana pendapatan tahunan sebanyak RMB 3.65 bilion pada 2024.
Setiap rekaan Lilanz menitikberatkan perincian halus, keselesaan dan keanggunan.
Antara pencapaian terbesar mereka termasuklah menjadi jenama fesyen lelaki China pertama yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong pada 2009, sekali gus membuka jalan kepada inovasi berterusan dalam rekaan dan strategi pemasaran.
Pembukaan butik seluas 2,885 kaki persegi di Genting Highlands bukan hanya simbol kemajuan, tetapi juga ruang untuk memperkenalkan koleksi terkini mereka, iaitu koleksi musim bunga/panas 2025 yang diinspirasikan daripada semangat pengembara moden.
Koleksi itu menyerlahkan tiga tema utama Wandering in London, Sand Dunes dan Colourful Holiday masing-masing menampilkan rekaan berbeza yang merangkumi gaya metropolitan, ketenangan alam dan semangat bercuti yang santai.
Tema Wandering in London misalnya, membayangkan seorang lelaki bergaya yang berjalan menyusuri jalanan klasik kota London.
Koleksi musim bunga/panas diinspirasikan daripada semangat pengembara moden.
Manakala Sand Dunes pula memberi penghormatan kepada keindahan landskap padang pasir dengan rekaan menggunakan fabrik semula jadi seperti kapas dan linen.
Colourful Holiday pula menyuntik semangat ceria dan warna-warni percutian tropika menerusi fabrik kalis UV dan rekaan santai yang sesuai untuk iklim panas.
Lebih istimewa, tahun ini Lilanz turut memperkenalkan koleksi eksklusif hasil kolaborasi bersama PRONOUNCE, jenama rekaan China yang terkenal dengan gabungan gaya Timur dan Barat.
Koleksi itu menggunakan inspirasi geometri papan luncur dan tekstur seni bina kuno untuk menghasilkan busana berfungsi yang sarat dengan nilai artistik dan kebebasan ekspresi.
Butik baharu itu bukan sahaja menawarkan koleksi pakaian luar dan dalam, tetapi juga kasut serta aksesori yang menyempurnakan gaya lelaki moden.
Koleksi musim bunga/panas menyerlahkan tiga tema utama Wandering in London, Sand Dunes dan Colourful Holiday.
Dengan falsafah Minimalist Precision, setiap rekaan Lilanz menitikberatkan perincian halus, keselesaan dan keanggunan yang tidak berlebihan dengan ciri yang semakin mendapat tempat dalam gaya hidup lelaki urban hari ini.
Dengan pembukaan butik itu, Malaysia kini menjadi pintu masuk penting bagi Lilanz ke pasaran Asia Tenggara dan seterusnya ke pentas global.
Keyakinan mereka terhadap pasaran tempatan bukan sahaja mencerminkan potensi besar negara dalam sektor runcit dan gaya hidup malah mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab fesyen yang semakin mendapat perhatian pemain industri antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram