Karnival Belia Madani 2.0 tampil lebih gempak dengan 'food fest', aktiviti menarik


  • Massa
  • Jumaat, 23 Mei 2025

 Karnival Belia Madani 2.0 merupakan sebuah program bertujuan untuk menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti bermakna seperti forum, bengkel, pertandingan serta persembahan seni dan budaya. 

PUSAT Khidmat Rakyat Parlimen Pandan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) termasuk beberapa organisasi kerajaan akan menganjurkan Karnival Belia Madani 2.0 X Foodie Food Fest bermula 29 Mei hingga 1 Jun depan.

Bertempat di tempat letak kereta berhadapan Hospital Ampang, Ampang, Selangor, karnival memasuki tahun kedua ini bertujuan untuk memperkasakan belia setempat melalui pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan unsur pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan seni.

Antara aktiviti disediakan termasuk 70 reruai jualan makanan, pertandingan e-sport, Mobile Legend; pertandingan mewarna; pertandingan gusti lengan; pertandingan e-football; pertandingan karaoke suara emas; mini zoo dan persembahan istimewa penyanyi Apak Harry Khalifah, kumpulan Cherpen, Lan Solo dan ramai lagi.

BACA LAGI: Pendapatan ibu tunggal, suri rumah mencanak cecah RM5,000 sebulan menerusi Sejati Madani

BACA LAGI: KPM cadang perluas Baucar Buku Madani kepada guru

Pengarah Program, Madiah Masud berkata, Karnival Belia Madani 2.0 merupakan sebuah program bertujuan untuk menggalakkan penyertaan belia dalam aktiviti bermakna seperti forum, bengkel, pertandingan serta persembahan seni dan budaya. 

"Program ini berfungsi sebagai platform memperkukuh semangat perpaduan dan memberi peluang kepada anak muda untuk berkongsi idea serta membina jaringan sosial. 

"Ia juga menyasarkan pembentukan belia yang berdaya saing, berfikiran kreatif, dan berorientasikan kemajuan dalam pelbagai bidang," katanya.

Dalam masa sama, karnival ini turut menyokong dan memperkasa Matlamat Pembangunan Lestari (SGDs) dengan memberikan peluang kepada belia untuk terlibat dalam program yang berorientasikan kemajuan, inovasi dan kelestarian. 

Ini melalui aktiviti seperti bengkel dan pertandingan, peserta dapat meningkatkan kesedaran tentang isu sosial, ekonomi dan alam sekitar, sejajar dengan prinsip pembangunan mampan. 

Karnival Belia Madani 2.0 akan dimeriahkan dengan persembahan dari penyanyi terkenal tanah air.

"Ini membantu melahirkan generasi belia yang lebih peka terhadap cabaran global dan bersedia menyumbang kepada masyarakat secara positif," tambahnya. 

Karnival turut diserikan dengan Jelajah Agenda Nasional Malaysia turut menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma seperti saringan kesihatan, perkhidmatan pergigian, PEKA B40 dan saringan kanser untuk wanita.

Dalam pada itu, karnival berkenaan turut menyediakan zon cabaran robotik dan permainan interaktif kesihatan.

Karnival juga dimeriahkan jualan ehsan rahmah dan jualan terus dari ladang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram