'Saya yang sakit, tapi dia pergi dulu,' isteri jemaah haji kedua yang meninggal dunia terkenang sifat baik suami


  • Bonda
  • Selasa, 20 Mei 2025

Sarifah Hassan merupakan isteri kepada Abdullah Mat yang menghembuskan nafas terakhir ketika melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah pada Isnin.

"SAYA yang sakit di sini, tapi dia pula yang pergi dulu."

Begitulah luahan pilu Sarifah Hassan, 57, selepas kehilangan suaminya, Abdullah Mat, 59, yang menghembuskan nafas terakhir ketika melakukan tawaf di Masjidil Haram, Makkah pada Isnin.

Pasangan dari Pasir Mas, Kelantan itu sudah bertahun-tahun membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji bersama, namun takdir ALLAH mendahului segalanya apabila Abdullah meninggal dunia akibat serangan jantung, sebelum sempat menunaikan ibadah haji.

BACA LAGI: Ramai suami tak tahu, ibu susukan anak berhak terima upah — Kaunselor Laktasi

BACA LAGI: Kahwin bukan sekadar cinta! Si bujang 'take note' nasihat orang berpengalaman sebelum dirikan rumah tangga

“Arwah sangat menjaga saya di sini. Dia suruh saya makan buah, minum air Zam-Zam, sedangkan saya yang selalu tak sihat sejak sampai. Tak sangka, dia yang pergi dulu,” kata Sarifah.

Sarifah menggambarkan suaminya sebagai seorang yang pemurah dan sentiasa mementingkan kebajikan orang lain.

“Kalau di kampung, setiap kali Ramadan dan hari Jumaat, dia akan belanja orang kampung makan di gerai roti canai. Pernah sekali jumlahnya cecah ratusan ringgit tetapi dia tak kisah. Dia suka memberi.

“Di sini pun, dia tak berhenti hulurkan kurma kepada jemaah lain. Sifat memberi tu memang dah sebati dalam dirinya,” tambah Sarifah yang tidak dapat menahan tangisan.

Malam sebelum kejadian, mereka tidak tidur sebilik kerana lelaki dan wanita ditempatkan berasingan. 

Ketika itu, Abdullah memaklumkan dia dan rakan sebiliknya ingin berehat dan akan ke masjid untuk solat Subuh.

Namun, sekitar awal pagi, Sarifah dikejutkan dengan panggilan mengenai suaminya yang rebah ketika bertawaf dan disahkan meninggal dunia di hospital.

Rakan sebilik Allahyarham, Ashri Mohamed, 52, turut menyifatkan Abdullah sebagai seorang yang penyayang dan tidak lokek menghulur bantuan walaupun mereka baru mengenali antara satu sama lain di Madinah.

“Ketika kami sedang bertawaf, dia tiba-tiba jadi perlahan dan tumbang beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh. Seorang doktor cuba menyelamatkan, tapi tidak berjaya.

“Saya terkejut sebab dia kelihatan sihat sebelum tu, malah sangat aktif. Suka bergurau dan suka bergambar. Dia selalu ajak kami ambil swafoto, katanya dia paling senior jadi kami kena jaga dia,” kenang Ashri.

Biarpun hanya mengenali arwah selama beberapa minggu, Ashri mengakui hubungan mereka sangat rapat. Malah, sifat pemurah Abdullah sempat menyentuh hati ramai jemaah lain.

Kini, Sarifah redha dengan ketentuan Ilahi, walaupun pemergian suami tercinta itu begitu mengejutkan.

“Dia pergi di tempat paling mulia, dalam keadaan beri pada orang, sewaktu melakukan ibadah. Saya tahu dia orang baik... semoga ALLAH tempatkan dia dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Untuk rekod, Abdullah merupakan jemaah haji kedua dari Malaysia yang meninggal dunia tahun ini daripada keseluruhan 31,600 jemaah negara yang kini berada di Tanah Suci. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram