
KELUARGA jemaah wanita Malaysia, Norizah Tambunan Nordin, 47 yang meninggal dunia pada Jumaat lalu memaklumkan arwah seakan-akan sudah tahu bahawa perjalanan haji tersebut bakal menjadi kembara terakhirnya ke Tanah Suci Makkah.
Adik kepada Allahyarhamah Norizan, Anggiat Tambunan berkata, tanda-tanda tersebut dapat dilihat menerusi nukilan warkah ditinggalkan arwah di rumah pusaka keluarga mereka di Batu Pahat, Johor.
Perkara terbabit dikongsikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid ketika pemimpin terbabit melakukan ziarah ke rumah keluarga arwah.
BACA LAGI: Bil 'modify' pernah cecah RM50,000, Outsider Bikes mampu penuhi cita rasa peminat basikal
"Dalam nukilan warkah akhir yang ditinggalkan Allahyarhamah di rumah pesaka mereka, Encik Anggiat menceritakan Allahyarhamah seakan tahu bahawa perjalanan hajinya ini adalah 'perjalanan bertemu Allah'..
"Ada ruang khusus di rumah pesaka yang didiami Allahyarhamah untuk dirinya 'bersendirian dengan Tuhan'.. tiada siaran cerita dapat ditonton dari televisyen di rumahnya.. tanda Allahyarhamah benar-benar 'bercinta dengan rasa rindunya kepada Sang Pencipta'," kongsi Mohd Fared dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Norizah menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu. — Facebook/Mohd Fared Mohd Khalid
Norizah dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung ketika berada di dalam Masjidil Haram.
Terdahulu, Norizah dilaporkan memulakan tawaf sekitar jam 6.20 pagi dan kelihatan keletihan dan berhenti berehat beberapa kali semasa menuju ke Masjidil Haram.
Untuk rekod, arwah merupakan jemaah dalam Rombongan Haji Kerajaan Johor (RKJ) dan baru tiba di Tanah Suci Makkah pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohd Fared berkata, dalam ziarah tersebut, beliau turut mendengar pelbagai cerita baik daripada Anggiat mengenai arwah yang disifatkan mewarisi keperibadian ibunya.
"Dari perihalan kekeluargaan Allahyarhamah, kita dimaklumkan bahawa Allahyarhamah seorang yang penyayang dan mewarisi keperibadian arwah ibu mereka.
"Allahyarhamah yang masih bujang telah dalam diam mencarumkan kakak kandung dan adik kandung lelakinya itu dengan perlindungan tafakul
"Dalam empat beradik, Allahyarhamah anak kedua dan adik perempuan bongsunya telah juga meninggal dunia.
"(Allahyarhamah) Membelanjakan wang gajinya bagi membantu orang tanpa diceritakan," ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, arwah turut memiliki perasaan penyayang terhadap haiwan seperti kucing.
Ini kerana sepanjang hidupnya, Allahyarhamah turut menyediakan tempat makan bagi kucing-kucing tidak bertuan di ruang luar rumahnya.
Mohd Fared (kanan) ketika menziarahi keluarga Allahyarhamah Norizah. — Facebook/Mohd Fared Mohd Khalid
"Dan yang lebih menghairankan keluarga mereka ialah, sejak berita kematian Allahyarhamah termaklum, tiada lagi kucing-kucing datang ke rumahnya seolah-olah tahu berita sedih ini," kata Mohd Fared yang turut menyifatkan arwah sebagai seorang penjawat awam Kerajaan Johor yang berdedikasi.
Dalam hantara sama, beliau turut dimaklumkan mengenai pengurusan jenazah Allahyarhamah di Makkah yang berjalan teratur dan lancar dengan bantuan daripada Tabung Haji (TH).
"Kita sampaikan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah. Bukan sahaja sebagai jemaah RKJ) tetapi juga sebagai penjawat awam Kerajaan Johor yang dedikasi," ujarnya.
Difahamkan jenazah sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Sharayaa 64, Makkah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram