Bekas ratu cantik Vietnam ditahan terlibat skandal penipuan gula-gula kesihatan Kera Gummy


  • Maya
  • Selasa, 20 Mei 2025

Tien mula mencipta nama selepas memenangi Miss Grand International 2021 di Thailand.

DUNIA hiburan Vietnam dikejutkan dengan penahanan bekas pemenang Miss Grand International 2021, Nguyen Thuc Thuy Tien, 26, berhubung dakwaan terlibat dalam penipuan produk gula-gula kesihatan Kera Gummy.

Tien ditahan Agensi Siasatan Polis di bawah Kementerian Keselamatan Awam Vietnam pada Isnin dan kini disiasat mengikut Klausa 2, Artikel 198 Kanun Jenayah Vietnam atas kesalahan menipu pelanggan.

Menurut pihak berkuasa, Tien memiliki 30 peratus saham dalam syarikat yang mengeluarkan produk berkenaan.

 BACA LAGI: Palsukan ijazah, bekas Ratu Cantik China dipenjara 240 hari

 BACA LAGI: [VIDEO] Padah 'pau' pelawat RM50, 'mak guard' Hospital Kajang ditahan polis

"Sementara selebihnya dimiliki oleh dua rakan kongsi perniagaannya yang juga personaliti media sosial terkenal iaitu Nguyen Thi Thai Hang (Hang Du Muc) dan Pham Quang Linh (Quang Linh Vlogs). 

"Kedua-duanya ditahan pada April lalu atas tuduhan serupa," katanya.

Kera Gummy dipasarkan sebagai alternatif sihat kepada sayur-sayuran, namun siasatan mendapati produk tersebut bersifat mengelirukan. 

Tien (dua dari kiri) bersama suspek lain yang ditahan oleh Agensi Siasatan Polis di bawah Kementerian Keselamatan Awam. — Kementerian Keselamatan Awam

Antara tuntutan yang dipersoalkan ialah slogan 'satu biji bersamaan sepinggan sayur', sedangkan kandungan sebenar serbuk sayuran dalam produk tersebut kurang daripada satu peratus, jauh berbeza daripada 28 peratus yang tertera pada pembungkusan.

Lebih membimbangkan, produk itu turut mengandungi 35 peratus sorbitol, bahan yang bersifat laksatif tanpa dimaklumkan kepada pengguna.

Tien yang mempunyai lebih 2.6 juta pengikut di Facebook, turut terlibat secara aktif dalam kempen promosi produk tersebut melalui siaran langsung dan hantaran di media sosial. 

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman dan persoalan awam mengenai kandungan produk, beliau bertindak memadamkan semua hantaran berkaitan.

Setakat ini, polis mendedahkan lebih 135,000 unit produk dijual kepada lebih 30,000 pelanggan, dengan jumlah jualan mencecah lebih VND17 bilion (sekitar RM2.8 bilion).

Beberapa individu lain dalam pengurusan Asia Life Corporation dan Che Em Rot Company turut didakwa atas kesalahan menghasilkan makanan tiruan. 

Antara yang ditahan termasuk Truong Thi Le dan Tran Thi Le Thu, manakala beberapa yang lain seperti Pham Thi Diem Trinh dan Nguyen Pham Hong Vy dibebaskan buat sementara kerana faktor kehamilan dan penjagaan anak kecil.

Sebelum penahanan itu, Tien dikenakan denda sebanyak VND25 juta (kira-kira RM4,000) kerana gagal mendedahkan butiran penajaan dan pengiklanan dalam promosi produk di media sosial.

Untuk rekod, Tien mula mencipta nama selepas memenangi Miss Grand International 2021 di Thailand dan pernah tersenarai sebagai salah seorang tokoh muda cemerlang dalam seni oleh Kesatuan Belia Komunis Ho Chi Minh. 

Beliau juga pernah membintangi beberapa video muzik dan filem, termasuk filem terbaharu bertajuk Chot Don bersama pelakon popular negara berkenaan, Quyen Linh.

Kes itu bukan sahaja mengejutkan peminat dan pemerhati industri hiburan, tetapi juga mencetuskan kebimbangan awam terhadap isu penipuan produk kesihatan serta peranan selebriti dalam mempengaruhi pengguna. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram