Penggunaan kamera badan mampu pulih kepercayaan rakyat terhadap polis


  • Massa
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Pelaksanaan kamera badan digunakan sebagai salah satu kaedah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan PDRM.

SEJAK kebelakangan ini, acap kali kita disajikan dengan laporan mengenai salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan seperti mengeluarkan kata-kata kesat, rogol dan rasuah melibatkan pihak polis antara kes panas yang pernah menggegak-gempitakan seluruh negara.

Situasi itu telah mencalarkan kredibiliti penguatkuasa tempatan seterusnya menjejaskan keyakinan masyarakat awam terhadap badan beruniform itu.

Justeru pastinya pengumuman penggunaan kamera badan (BWC) sebagai pemakaian wajib pegawai atau anggota PDRM semasa bertugas baru-baru ini mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka yang gagal mematuhi arahan pemakaian BWC terutama Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Motosikal (URB) dianggap melakukan kesalahan tatatertib.

PDRM dijangka mula menerima 7,648 unit BWC secara berperingkat mulai September tahun ini hingga Februari 2025.

Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia, Mohamed Lokman Mahmud berkata, pemasangan kamera badan pada pakaian seragam boleh dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha meningkatkan akauntabiliti terhadap pihak polis.

"Peraturan tersebut berupaya membantu mengurangkan kadar salah laku anggota polis dengan memberikan rekod visual tentang interaksi mereka dengan orang ramai.

"Difahamkan rakaman visual kamera badan ini tiada fungsi padam dan boleh digunakan dalam mahkamah," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI : 'Semoga dapat mendisiplin diri', usaha polis pasang kamera disokong ramai cegah budaya rasuah

Mohamed Lokman

BACA LAGI : Dua anggota polis ditahan, didakwa rogol pelajar kolej di Bukit Ampang

Dengan laporan-laporan salah laku yang direkodkan, tidak mustahil kepercayaan masyarakat terhadap anggota polis terjejas dengan teruk.

Justeru, pelaksanaan kamera badan digunakan sebagai salah satu kaedah untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan PDRM.

Mengulas lanjut mengenai peningkatan salah laku anggota polis, Mohamed Lokman berkata, keadaan tersebut boleh berlaku atas beberapa faktor.

Antaranya disebabkan oleh tekanan kerja, kebajikan tidak dijaga, budaya organisasi dan sara hidup yang tinggi berbanding gaji diperoleh.

"Kurang penjagaan kebajikan biasanya lebih berfokus kepada berek iaitu tempat tinggal.

"Bagi sesetengah negeri, keadaannya sudah semakin cantik, namun masih ada juga lokasi yang berada dalam keadaan daif dan tiada penambahaikan.

"Sementara itu, isu gaji pula melibatkan kenaikan gaji anggota berdasarkan pangkat. Naik pangkat naik gaji, tetapi bukan semua anggota dapat menikmati keadaan ini," ujarnya.

POLIS

Pemasangan kamera badan pada pakaian seragam boleh dilihat sebagai satu langkah positif dalam usaha meningkatkan akauntabiliti terhadap pihak polis.

Tambah Mohamed Lokman, tidak menjaga kebajikan pekerja termasuk kediaman yang selesa boleh mencetuskan ketidakpuasan hati dan berisiko menyumbang kepada perilaku tidak beretika sewaktu bertugas.

"Sebab itu memenuhi keperluan asas pekerja dapat memainkan peranan penting dalam mencegah kesalahan tingkah laku anggota polis.

"Sokongan dan pemantauan yang mencukupi dalam institusi polis adalah penting untuk meningkatkan latihan etika serta nilai," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, pemberian gaji yang tidak setimpal dengan bebanan kerja sebenarnya boleh mempengaruhi etika kerja individu.

Jelas beliau lagi, walaupun kerajaan telah memutuskan pelaksanaan kenaikan pangkat secara time-based, namun kenaikan melibatkan satu tempoh yang agak lama.

"Jika anggota ditugaskan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang atau Johor Bahru amat sukar untuk menyara kehidupan dengan gaji agak rendah misalnya RM2,500," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram