
POLIS menahan seorang pengawal keselamatan wanita yang didakwa sering mengenakan caj parkir tidak wujud kepada pelawat di Hospital Kajang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, wanita berusia 28 tahun itu ditahan pada Isnin.
Naazron berkata, kejadian berlaku pada 23 Disember 2024 dan wanita itu didakwa meminta RM50 sebagai caj parkir serta mengeluarkan kata-kata ugutan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu Axia merah bawa barang lebih muatan di Sepang mengaku ada masalah kesihatan
BACA LAGI: Norjuma mengaku cederakan wanita, didenda RM1,000 dengan alasan sambung belajar sambil tanggung bapa
"Pengawal keselamatan tersebut dilihat cuba untuk mengambil kesempatan dengan cara memeras wang tunai sekiranya pelawat meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan.
"Selain itu, pengawal keselamatan terbabit turut mengeluarkan kata-kata ugutan yang tidak sopan semasa kejadian.
"Susulan itu, wanita tersebut direman sehingga Rabu bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan (melakukan pemerasan).
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Orang awam atau individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu juga diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis yang berdekatan ataupun berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-9140758 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram