
RAMAI wanita di negara ini dibesarkan dengan kepercayaan bahawa tuala wanita yang telah digunakan perlu dibasuh sebelum dibuang.
Amalan itu sudah berakar umbi sejak sekian lama, terutama dalam kalangan masyarakat Melayu Islam atas alasan kebersihan dan juga kepercayaan bahawa darah haid yang tidak dibersihkan boleh mengundang elemen mistik.
Namun, dalam era digital kini, kepercayaan itu mula dipersoalkan terutamanya apabila golongan profesional perubatan tampil memberi penjelasan berdasarkan fakta kesihatan.
BACA LAGI: Optimumkan ruang rumah kecil, 6 pilihan pintu unik untuk kediaman moden
Menurut Dr Aen, seorang pakar dalam bidang kesihatan awam dan wanita, tuala wanita yang telah digunakan sebenarnya tidak perlu dibasuh sebelum dibuang terutamanya di tandas awam.
Menerusi satu perkongisan di platform X, beliau menjelaskan bahawa darah haid adalah najis dan tidak sepatutnya dibasuh secara terbuka kerana risiko pencemaran mikro yang tinggi.
Percikan darah halus tidak kelihatan dengan mata kasar boleh membawa risiko jangkitan kuman, lebih-lebih lagi jika individu tersebut menghidap penyakit berjangkit seperti Hepatitis B atau Herpes yang mungkin tidak disedari.
Dalam amalan di fasiliti kesihatan sekalipun, pakaian yang terkena darah tidak akan dicampur basuh dengan pakaian lain.
Malah, darah yang telah keluar dari tubuh manusia diklasifikasikan sebagai bahan berisiko tinggi dan mempunyai protokol khas bagi mengendalikannya di hospital.
Sebenarnya... tak perlu pun basuh pad. You ladies still basuh ke? pic.twitter.com/NrTUYbwfCq
— Dr Aen | Let's Bebel (@draenbebel) May 13, 2025
Dr. Aen turut menegaskan bahawa cara paling selamat dan bersih untuk membuang tuala wanita adalah dengan melipat atau membalutnya dengan kertas, sebelum dibuang ke dalam tong sampah khas (sanitary bin).
Tidak perlu membilas atau mencucinya terlebih dahulu lebih-lebih lagi di tandas awam yang mungkin tidak bersih dan boleh mendedahkan individu kepada risiko kesihatan.
Penjelasan itu sekali gus membantu meleraikan kekeliruan dalam kalangan wanita yang selama ini terikat dengan amalan tradisi, namun mungkin tidak tahu risiko kesihatan tersembunyi di sebaliknya.
Pendedahan seperti itu penting dalam memperkasakan kesihatan wanita dengan pendekatan yang lebih saintifik dan selamat.
Pada masa sama, membantu membetulkan persepsi dan amalan lapuk yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram