[VIDEO] Pilih rai ulang tahun kelahiran bersama anak-anak yatim, paling teruja nampak kek coklat


  • Maya
  • Selasa, 13 Mei 2025

Inisiatif murni wanita itu mengingatkan kita bahawa kebaikan masih hidup dan kadangkala hadir dalam bentuk yang sangat sederhana.

HARI lahir lazimnya sinonim dengan kek dan lilin, makan malam istimewa, kejutan daripada rakan-rakan ataupun percutian ke destinasi mewah.

Namun lain pula bagi seorang gadis dikenali di TikTok sebagai @chn.xo apabila hari istimewa itu dipilih untuk diraikan dengan cara lebih manis.

Dalam satu video yang tular di TikTok, gadis itu berkongsi momen sambutan ulang tahun kelahirannya bersama anak-anak yatim yang mana ia satu pilihan jarang dibuat oleh orang ramai.

BACA LAGI: Rakyat Malaysia luah rasa kecewa pusat beli-belah moden ubah suai 'tandas kering', tiada bidet dan paip air

BACA LAGI: Bumbung 'skylight', jubin anti-slip antara 5 elemen kena ada jadikan ruang dobi lebih praktikal

Perbuatannya itu memberi makna luar biasa, bukan sahaja kepada dirinya, bahkan kepada semua yang menonton perkongsian tersebut.

Dengan penuh rendah hati, wanita itu menzahirkan rasa syukur atas perjalanan hidup telah dilaluinya.

"Seiring waktu berlalu, banyak suka dan duka saya lalui bahkan pada saat-saat hampir terjatuh, saya bersyukur menemui kekuatan untuk bangkit semula,” katanya dalam luahan ikhlas di video tersebut.

Dalam video berdurasi lebih seminit itu, wanita berkenaan membeli makanan dan minuman dalam jumlah yang banyak lalu dibawa ke sebuah rumah anak yatim.

Bukan itu sahaja, beliau turut menyediakan kejutan istimewa berupa kek coklat sehingga membuatkan anak-anak kecil menjerit kegembiraan.

"Saya amat bersyukur dan percaya segala yang dimiliki adalah rahmat dan keberkatan daripada ALLAH.

"Saya berdoa agar setiap apa dilakukan berada di jalan yang benar," luahnya sambil berkongsi niat jauh daripada riak, tetapi sarat penuh keikhlasan.

Lebih menyentuh perasaan apabila wanita itu menyebut dua insan utama dalam hidupnya iaitu ibu dan bapa yang menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah maju dalam hidup.

"Mereka adalah sebab saya masih kuat hingga ke hari ini. Semoga saya diberi rezeki untuk menjaga mereka hingga ke akhir hayat," katanya dalam nada penuh hormat dan kasih.

Sambutan hari lahir yang sederhana itu diserikan dengan aktiviti santai seperti bermain puzzle bersama anak-anak di rumah berkenaan sehingga terpancar keriangan pada wajah mereka.

Suasana itu benar-benar mengundang rasa sebak kepada sesiapa yang menonton satu bentuk kasih sayang yang tidak berpaksikan material, tetapi pada keikhlasan memberi.

"Melihat senyuman anak-anak yatim hari ini merupakan satu momen yang sangat berharga buat saya,” ujarnya penuh emosi.

"Saya harap boleh membuat lebih ramai orang tersenyum dan berasa gembira dengan apa jua cara yang saya mampu.”

Video itu bukan sekadar tular, tetapi turut membuka hati orang ramai yang mengakui tersentuh, sebak dan ada juga menyuarakan niat untuk melakukan perkara sama apabila tiba hari lahir mereka nanti.

Bukan sahaja kecantikan dimiliki, tetapi hati yang begitu lembut dan baik, membuatkan wanita itu menerima pujian daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam dunia semakin mementingkan diri sendiri dan kemewahan, perbuatan murni wanita itu mengingatkan kita bahawa kebaikan masih hidup dan kadangkala hadir dalam bentuk yang sangat sederhana, namun memberi kesan luar biasa.

"Saya berdoa agar semua yang membaca ini dikurniakan kejayaan di dunia dan juga akhirat," katanya menutup perkongsian itu dengan doa buat semua. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram