[VIDEO] Lari dari 'hutan konkrit', suami isteri DIY rumah di Kuala Pilah, tenang bersama estetika alam semula jadi


  • Maya
  • Selasa, 13 Mei 2025

Rumah kecil La Hilir kini menjadi inspirasi ramai selepas perkongsian mereka di Instagram menjadi tular. — Instagram/La Hilir

DALAM dunia serba moden hari ini, ramai mengejar rumah besar, lokasi strategik dan perabot mewah.

Namun berbeza pula dengan pasangan suami isteri, Allan Casal dan Irena Adam yang memilih untuk membina kehidupan secara sederhana.

Ini semua bermula dengan membina rumah kecil sendiri tanpa bantuan luar.

BACA LAGI: Bumbung 'skylight', jubin anti-slip antara 5 elemen kena ada jadikan ruang dobi lebih praktikal

BACA LAGI: Hobi 'thrifting' cara bijak dekor kediaman, perabot terpakai boleh upholsteri semula suntik keunikan

Bertempat di pinggir alam, rumah kecil berpangkalan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dinamakan La Hilir itu bukan sekadar tempat tinggal.

Ia adalah cerminan falsafah hidup mereka yang memilih kebebasan, ketenangan dan hubungan erat dengan alam.

Bina sendiri

Apa menjadikan rumah itu unik bukan sahaja reka bentuknya yang ringkas dan elegan, bahkan proses pembinaannya.

Tiada arkitek profesional, kontraktor atau pun pekerja luar Allan bersama isterinya hanya menggunakan tangan dan usaha gigih mereka sendiri.

"Segalanya yang anda lihat di sini, kecuali perabot, saya membangunnya sendiri,” kata Allan sambil menunjukkan ruang tamu terbuka berlatarkan kehijauan.

Ruang itu juga berfungsi sebagai pawagam keluarga pada waktu malam lengkap dengan projektor dan bertih jagung.

Susun atur pintar, ruang maksimum

Walaupun saiznya kecil, susun atur dalaman sangat efisien dengan bilik anak perempuan mereka hanya 42 kaki persegi, namun terasa lapang kerana pencahayaan semula jadi dari tingkap pelbagai arah.

Di tingkat atas pula, mempunyai ruang untuk anak lelaki, kawasan menonton television dan ruang belajar dengan gitar serta piano.

Bilik tidur utama pula berkonsepkan pencahayaan silang dan udara masuk dari tingkap dua arah.

Elemen kayu antik digunakan secara kreatif untuk kabinet dan tekstur dinding, memberi sentuhan Bohemia yang unik.

Hidup dikelilingi alam

Kejutan terbesar rumah itu terletak di luar apabila Allan mempunyai sebuah kawasan santai dibina sendiri mengandungi ruang makan terbuka, jakuzi, bilik air di luar dan pancuran mandi terbuka lebih menarik semuanya dikelilingi alam semula jadi.

"Kami mahu hidup dalam suasana damai. Kehidupan di kota terlalu menekan," jelas Allan.

Pilihan untuk berpindah ke rumah kecil itu adalah keputusan yang bukan sahaja praktikal, malah emosional.

Mereka membina bukan sekadar rumah, tetapi tempat pulang yang penuh makna.

Inspirasi gaya hidup minimalis

Rumah kecil La Hilir kini menjadi inspirasi ramai selepas perkongsian mereka di Instagram menjadi tular.

Dalam dunia yang sering mengaitkan kebahagiaan dengan pemilikan material, pasangan itu membuktikan bahawa kekayaan sebenar datang dari rasa cukup, kreativiti dan kasih sayang.

"Ini adalah pertunjukan seorang lelaki," gurau Allan.

Namun hakikatnya, ia adalah pertunjukan satu keluarga yang memilih untuk membina hidup mereka sendiri, batu demi batu, kayu demi kayu, senyum demi senyuman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram