Cikgu jadikan tanaman vanila sumber rezeki selepas bersara di Sarawak


  • Bisnes
  • Jumaat, 30 Jan 2026

Iklim Malaysia yang panas dan lembap menyediakan keadaan yang ideal untuk menanam vanila, membolehkan tanaman itu tumbuh subur sepanjang tahun. — Yayasan Hasanah

PERSARAAN tidak menjadi noktah kepada produktiviti buat Luke Piee. Sebaliknya, ia membuka lembaran baharu apabila bekas guru itu berjaya menjadikan tanaman vanila sebagai sumber pendapatan lumayan di usia emasnya.

Tiga tahun lalu, ketika berusia 65 tahun, Luke mengambil langkah berani menceburi bidang pertanian vanila di pekarangan rumahnya di Kampung Stass, Bau, kira-kira 60 kilometer dari Kuching. 

Keputusan yang pada awalnya dianggap luar kebiasaan itu kini membuahkan hasil apabila dia berjaya menjual lebih 500 keratan vanila dengan pendapatan melebihi RM11,000.

BACA LAGI : 'Terima kasih jadi penyelamat saya Nurse Syuhada', tangisan bayi terhenti dek sentuhan ikhlas ketua jururawat HTA

BACA LAGI : [VIDEO] Pelajar datang sekolah hanya berselipar, guru sanggup 'korbankan' kasut kesayangan

Kini berusia 68 tahun, Luke mengakui tidak pernah membayangkan dirinya terlibat dalam bidang pertanian vanila selepas bersara.

"Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk menjalankan perniagaan ini selepas persaraan.

"Pada mulanya, saya bercadang untuk terlibat dalam kerja badan bukan kerajaan (NGO), namun dalam masa sama saya sedar perlu melakukan sesuatu yang mampu memberi pulangan,” katanya dalam temu bual video dari kediamannya bersama The Star.

Datuk kepada lima cucu itu turut menegaskan kepentingan untuk warga emas kekal aktif dan produktif.

"Ramai yang bekerja keras sebelum bersara, kemudian berhenti sepenuhnya dan hanya berehat. 

"Itu tidak baik. Kita perlu kekal sibuk, tetapi jangan sampai membebankan diri," katanya.

Luke mengambil langkah berani menceburi bidang pertanian vanila di pekarangan rumahnya di Kampung Stass, Bau. 

Selepas menamatkan perkhidmatan, Luke pernah mencuba beberapa jenis tanaman termasuk lada hitam, kelapa sawit dan koko. 

Namun, minatnya tidak bertahan lama kerana tanaman berkenaan memerlukan penyelenggaraan yang berat serta kos yang tinggi.

Perubahan arah berlaku pada 2022 apabila dia diperkenalkan kepada Alfred Phua, bekas pekerja sosial yang kini bergelar usahawan sosial serta pengasas Vanilla Impact Story (VIS), sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada penanaman vanila bernilai tinggi bagi memperkasa komuniti terpinggir di Sarawak.

Tertarik dengan potensi tanaman itu, Luke membeli beberapa keratan vanila, mengikuti latihan praktikal dan secara berperingkat memulakan penanaman secara kecil-kecilan.

Menurutnya, tanaman vanila lebih sesuai untuk warga emas kerana tidak memerlukan kerja fizikal yang berat, sebaliknya menuntut ketelitian dan penjagaan rapi terutama ketika proses berbunga.

"Tanaman ini tidak memerlukan kita mengangkat beban berat. 

"Berbanding kelapa sawit atau getah, vanila jauh lebih ringan dari segi kerja fizikal, sekali gus sesuai untuk mereka yang sudah bersara,” katanya.

Bekas guru Geografi dan Bahasa Inggeris yang pernah berkhidmat sebagai pegawai pendidikan di Jabatan Pendidikan Sarawak itu berkata, vanila menawarkan keseimbangan ideal antara perniagaan kecil dari rumah, hubungan dengan alam semula jadi dan kepuasan hidup selepas persaraan.

Luke menanam spesies tahitensis, antara varieti vanila komersial yang berasal dari Tahiti. 

Jelas Luke lagi, keadaan tanah di Sarawak amat sesuai untuk tanaman itu, khususnya tanah rendah separa berpasir yang tidak mudah bertakung air.

Kawasan seperti Bau dan Serian pula mempunyai persekitaran yang berangin serta pengudaraan semula jadi yang baik, menjadikannya lokasi ideal untuk penanaman vanila.

Penanaman vanila menawarkan komuniti di Sarawak sumber pendapatan berterusan yang bernilai tinggi.— Gambar Hiasan/Agensi 

Luke memulakan usaha secara sederhana dengan hanya 22 keratan vanila. Apabila pokok mencapai ketinggian kira-kira 0.9 meter, dia mula memotong dan membiak keratan baharu, sekali gus mengurangkan kos operasi.

Kini, Luke memiliki kira-kira 250 pokok vanila yang ditanam di atas tanah seluas suku ekar bersebelahan rumahnya. Setiap hari, beliau hanya meluangkan kira-kira satu jam untuk menguruskan tanaman berkenaan.

"Saya seronok memeriksa pokok dan melihat perkembangannya. Bagi saya, ini lebih kepada hobi yang menyeronokkan,” katanya.

Namun begitu, Luke mengakui penanaman vanila tetap berdepan cabaran, khususnya faktor cuaca. 

Hujan berlebihan boleh menjejaskan proses pendebungaan manual apabila debunga mudah hilang, manakala musim kering pula memerlukan pengurusan air yang teliti kerana vanila tidak memerlukan siraman berlebihan.

"Sebelum ini saya menanam lada, tetapi harganya tidak menentu dan kos pengeluaran pula tinggi.

"Vanila memerlukan modal awal yang agak besar, namun kos penyelenggaraan dan pengeluaran tahunan jauh lebih rendah,” jelasnya.

Menurut Luke, satu pokok vanila yang sihat mampu menghasilkan antara lapan hingga 12 pod dan berpotensi memberi hasil lebih tinggi dari semasa ke semasa. Namun, tanaman itu masih dianggap baharu di Sarawak, selain berdepan kekangan pasaran serta kebimbangan terhadap kestabilan permintaan.

Dia bersyukur apabila berjaya memperoleh hasil tuaian pertama sebanyak satu kilogram selepas tiga tahun, dan berharap dapat mengeluarkan antara lima hingga 10 kilogram pada masa hadapan.

Pulangan yang diterima juga amat memberangsangkan apabila hanya lima batang vanila boleh dijual sekitar RM150. 

Selain itu, Luke turut menjana pendapatan sampingan dengan menjual keratan vanila pada harga RM15 setiap satu.

Kisah Luke Piee membuktikan bahawa persaraan bukan penamat kepada sumbangan dan produktiviti, sebaliknya boleh menjadi permulaan baharu yang lebih bermakna, berbaloi dan memberi inspirasi, asalkan berani mencuba.— The Star/ SHEELA CHANDRAN