KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh bukan warganegara, berkuat kuasa 1 Mac depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan melalui aplikasi mudah alih Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Ini akan membolehkan setiap transaksi penjualan dan pembelian direkodkan secara digital.
BACA LAGI: KPDN sahkan tiada unsur penipuan selepas periksa lebih 2,000 pam RON95 di seluruh negara
BACA LAGI: 'Hauslah’, KPDN Melaka ‘mengusik’ peniaga air harga cekik darah

Sistem baharu bakal diperkenalkan bagi tujuan pembelian minyak masak paket bersubsidi.
“Sebelum ini, terdapat banyak gesaan untuk melarang pembelian oleh warga asing, namun pihak peruncit membangkitkan aspek praktikal, iaitu mekanisme pelaksanaan larangan termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.
“Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian dan diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, peruncit serta pihak penguat kuasa dapat melaksanakan larangan ini dengan berkesan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, mengenai keberkesanan eCOSS di Dewan Rakyat pada Khamis.
Ujarnya, larangan itu akan diwartakan melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan yang digubal di bawah kuasa Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara, sebelum berkuat kuasa secara rasmi pada Mac depan.
Terdahulu, Armizan turut memaklumkan aplikasi eCOSS akan diperluaskan secara berperingkat bagi memastikan warga emas, golongan miskin dan penduduk luar bandar dapat membuat pembelian subsidi dengan mudah, termasuk melalui kaedah manual atau sokongan di premis peruncitan terpilih. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
