BUDI95: Pemandu e-hailing gagal catat jarak minimum 2,000km tidak layak


  • Massa
  • Khamis, 18 Dis 2025

Jarak perjalanan penentu siling subsidi BUDI95 pemandu e-hailing. — Gambar hiasan

PEMANDU e-hailing yang tidak mencatatkan jarak perjalanan minimum melebihi 2,000 kilometer (km) pada bulan terdahulu secara automatik tidak layak menerima kelayakan tambahan BUDI95 sehingga 800 liter sebulan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jarak perjalanan yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-hailing (EHO) menjadi penentu utama siling kelayakan subsidi.

Pertama, kata beliau jarak perjalanan e-hailing tidak melebihi 2,000 km pada bulan sebelumnya akan kekal menerima kelayakan asas sebanyak 300 liter sebulan.

BACA LAGI: [VIDEO] Jojo usik Miki ‘terkumat-kamit’ nyanyi Negaraku selepas raih emas Sukan SEA

BACA LAGI: Benjamin Mora kembali bekerja, dikhabar jadi pengendali kelab Indonesia

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. — Facebook

Kedua, jarak perjalanan e-hailing antara 2,000 ke 5,000 km pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan Budi95 sebanyak 300 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 600 liter, termasuk kelayakan asas.

"Ketiga, jarak perjalanan e-hailing 5,000 km ke atas pada bulan sebelumnya layak menerima tambahan sebanyak 500 liter, menjadikan kelayakan kumpulan ini berjumlah 800 liter," katanya menjawab soalan Senator Dr RA Lingeshwaran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan boleh diambil ke atas pemandu atau EHO yang didapati mengemukakan maklumat palsu, meragukan atau bercanggah dengan rekod dalam sistem.

Pada masa sama, Amir Hamzah turut menekankan bahawa pendekatan tersebut berasaskan data perjalanan sebenar bagi menutup ruang ketirisan kepada pemandu tidak aktif atau sambilan, selain memastikan subsidi disalurkan kepada pemandu yang benar-benar bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

"Setakat Disember, daripada 164,000 pemandu e-hailing, lebih 106,000 atau 65 peratus layak menikmati siling BUDI95 antara 600 hingga 800 liter.

Kerajaan perincikan syarat kelayakan BUDI95 pemandu e-hailing. — Gambar hiasan

"Data perjalanan bulanan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.

"Hanya pemandu warganegara dengan lesen PSV dan permit e-hailing sah layak dipertimbangkan," tambahnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju meningkatkan kelayakan subsidi RON95 di bawah BUDI95 sehingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-hailing aktif, naik daripada 600 liter sebulan sebelum ini.

Menjawab soalan mengenai rebat tunai bagi galakan kenderaan elektrik (EV), Amir Hamzah menegaskan kerajaan tidak bercadang menggantikan subsidi BUDI95 dengan rebat tunai bagi memastikan subsidi tetap bersasar kepada pemandu yang bergantung kepada kenderaan enjin pembakar.

Beliau menambah bahawa isu peralihan kepada EV dan hibrid akan ditangani melalui rangka kerja dan inisiatif berasingan termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan dan dasar industri automotif negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram