Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan 2025 medan kolaborasi strategik, KPKM sasar kurangkan import 30 peratus menjelang 2040


  • Bisnes
  • Sabtu, 20 Dis 2025

Mohamad (tengah) melihat pameran jagung bijian sempena Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 baru-baru ini. — KPKM

KIRA-KIRA 300 peserta dalam kalangan penggubal dasar, petani, pemain industri jagung bijian, persatuan penternak ruminan dan pengilang makanan ternakan Malaysia hadir memeriahkan Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 yang julung-julung kali diadakan di Raia Hotel & Convention Centre, Alor Setar pada 18 Disember lalu.

Program anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Jabatan Pertanian (DOA) dan Persatuan Pengeluar Jagung Bijian Malaysia (MGCPA) itu disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Persidangan itu dijangka menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara pembuat dasar, pemain industri serta pemegang taruh utama dalam merangka hala tuju pembangunan industri jagung bijian secara lebih strategik dan inklusif.

BACA LAGI: Kurangkan subsidi telur mungkin strategi 'soft landing', mekanisme pasaran sihat

BACA LAGI: Tonjol evolusi penternakan, teknologi misi jadikan sektor pertanian, perikanan lebih ‘seksi’ di mata anak muda

Mohamad (dua kiri) dan KSU KPKM, Datuk Seri Isham Ishak bergambar di atas sebuah jentera pertanian pada Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 baru-baru ini.

KPKM menerusi kenyataan berkata, pihaknya komited dan akan terus meneliti usaha mampan dan berkesan untuk mempertingkatkan penanaman serta pengeluaran jagung bijian dengan sasaran keluasan kawasan bertanam sebanyak 15,000 hektar sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 meliputi produktiviti hasil sehingga 6 tan metrik per hektar menjelang 2030. 

Ketika ini, Malaysia mengimport sebanyak purata 2.5 juta tan metrik jagung bijian setahun dengan nilai import melebihi RM3 bilion setiap tahun bermula 2010 hingga 2024. 

Kebergantungan itu mendedahkan negara kepada risiko turun naik harga global serta gangguan rantaian bekalan yang akhirnya memberi kesan kepada kestabilan harga ayam serta keperluan subsidi kerajaan.

Justeru, inisiatif mempertingkatkan penanaman serta pengeluaran jagung bijian itu diharap dapat memastikan visi pengurangan import komoditi strategik itu kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang tahun 2040.

Persidangan Jagung Bijian Kebangsaan Tahun 2025 dihadiri kira-kira 300 pemain industri termasuk petani jagung bijian dan persatuan penternak ruminan  

Sebelum ini, KPKM turut mengambil langkah proaktif dengan memperluas pembangunan industri jagung bijian melalui penglibatan pemain industri berskala besar, termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd dan Genting Plantations Berhad pada 19 September 2024.

Hasil usaha bersepadu itu, sebanyak 15 syarikat swasta lain telah dikenal pasti berpotensi untuk menyertai inisiatif berkenaan secara berperingkat dalam membangunkan industri jagung bijian secara komersial.

Dalam pada itu, kerajaan kini berada di peringkat akhir memuktamadkan Dasar Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai.

Ia termasuk penyediaan kawasan penanaman, pemerkasaan infrastruktur dan mekanisasi, peningkatan produktiviti ladang, jaminan pasaran serta sokongan logistik dan pemprosesan.

Kerajaan menegaskan komitmen untuk membangunkan industri jagung bijian secara tersusun dan berdaya saing sebagai langkah strategik memperkukuh keterjaminan makanan negara, di samping memastikan kestabilan industri ternakan dan kawalan harga ayam. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram