'Kafe bukan mesin duit auto', bos Koffie Lane kongsi realiti sebenar bisnes F&B yang ramai tak sedia hadapi


  • Bisnes
  • Jumaat, 23 Jan 2026

Kafe Koffie Lane di Petaling Jaya menampilkan 'vibe' yang cukup estetik di samping pelbagai hidangan menarik. — IG Koffie Lane

MINAT untuk membuka kafe sendiri semakin meningkat dalam kalangan anak muda, namun tidak semua sedar bahawa semangat semata-mata tidak cukup untuk bertahan dalam industri makanan dan minuman (F&B) yang mencabar.

Pemilik Koffie Lane, Amar Azull, tampil berkongsi realiti sebenar mengurus perniagaan kafe menerusi satu perkongsian jujur buat mereka yang bercita-cita memiliki kafe sendiri suatu hari nanti.

Menurut Amar, kesilapan paling besar bakal usahawan kafe ialah membuka perniagaan tanpa pengalaman operasi sebenar.

BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga kek 'petite' di Cyberjaya kesal, tegur pelanggan suka banding harga tanpa faham kos

BACA LAGI: Hampir muflis di puncak kejayaan, 5 pengajaran daripada kejatuhan jenama Rizman Ruzaini

 

“Kerja dulu di mana-mana kedai. Pengalaman itulah yang akan bagi pendedahan sebenar tentang operasi. Benda ni kau tak boleh belajar di kelas,” katanya menerusi satu perkongsian di Threads.

Dia turut berkongsi latar belakang dirinya yang pernah bekerja sebagai kakitangan di beberapa jenama terkenal seperti Kinfolk di Sungai Petani, Kedah, Pizza Hut dan Sangkaya ketika berusia 18 hingga 22 tahun.

Amar menegaskan bahawa membuka kafe dengan modal terhad adalah satu langkah berisiko tinggi.

“Jangan buka kafe kalau modal cukup-cukup makan. Teruk nanti nak survive. Kena ada buffer dan faham asas kewangan seperti untung rugi, food cost, bleeding control dan operasi,” ujarnya.

Dia menyarankan agar usahawan baharu bermula dengan skala kecil terlebih dahulu bagi mengurangkan tekanan operasi.

“Jangan terus buka kedai besar. Test dulu kedai kecil. Operasi tak berat dan kau boleh belajar. Kedai kecil tak semestinya tak boleh buat untung,” katanya.

Dalam industri F&B, Amar menekankan kepentingan membaca trend semasa dan bertindak pantas.

“Bisnes F&B ni sangat bergantung kepada trend. Kau kena tahu apa yang pelanggan nak dan sanggup bayar. Execution tak boleh lambat. Lambat, benda jadi basi.”

Selain itu, pemasaran dianggap elemen wajib yang tidak boleh dielakkan.

“Kau suka atau tak, kau kena buat marketing. Kau kena bagitahu orang kau buka kafe. Jangan berharap. Hoping is not a strategy,” tegasnya.

Amar turut mengingatkan bahawa bisnes kafe bukan sekadar kerja berat, tetapi mencabar dari segi mental.

“Penat ni bukan sebab kerja semata-mata, tapi sebab mental. Kalau jenis 'cepat koyak' dan down, nasihat saya jangan masuk industri ni,” katanya.

Mengurus kafe, katanya, bermaksud mengurus manusia termasuk kakitangan, pelanggan dan pembekal, yang masing-masing mempunyai ragam tersendiri.

 

Menurut Amar yang menguruskan Koffie Lane di Kajang dan Petaling Jaya, kejayaan kafe bergantung kepada disiplin harian pemilik.

“Kafe bukan mesin duit auto. Kau kena turun padang, jaga operasi, pantau kualiti. Kalau kau tak jaga, bisnes akan mula sakit,” ujarnya.

Selain itu, Amar turut menyentuh tentang turun naik jualan mengikut musim dan kepentingan simpanan tunai.

“Apabila 'buah' tengah lebat, simpan cash reserve. Jangan overspend. Bila sales kurang, control kos dan baiki sistem,” tambahnya.

Amar menegaskan bahawa kestabilan kewangan membolehkan sesebuah kafe berkembang secara sihat.

“Apabila sales konsisten, kos terkawal, semua jadi boleh maksudnya boleh bayar gaji, bil, tambah menu sebab kafe kau mampu, bukan sebab kau terdesak,” katanya

Mengakhiri perkongsian, Amar berpesan agar bakal usahawan tidak mudah berputus asa.

“Kalau kau yakin boleh lalui pahit manis dalam bisnes ini, silakan. Jangan cepat down bila bisnes dicuit. Lama-lama kau akan faham industri ini,” tambahnya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram