DALAM masa tidak terduga, mungkin kereta anda tiba-tiba rosak atau berdepan kecemasan yang tak terjangka. Kejadian sedemikian memang tidak dapat dielakkan, tetapi anda boleh bersedia menghadapinya dengan membina dana kecemasan.
"Ada satu ketika, banyak perkara tak terduga yang berlaku dalam hidup kita dan kebanyakan daripadanya memerlukan sumber kewangan untuk menyelesaikannya," kata Miklos Ringbauer, akauntan awam bertauliah.
Standard industri menyarankan agar anda menyimpan dana kecemasan dalam bentuk tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan.
BACA LAGI: Inisiatif Bank Makanan Mutiara ringankan beban keluarga B40 di Komtar
BACA LAGI: Hampir muflis di puncak kejayaan, 5 pengajaran daripada kejatuhan jenama Rizman Ruzaini

Kemalangan antara situasi tak terduga yang memerlukan dana kecemasan segera. — Gambar hiasan / Freepik
Bagaimanapun, sasaran itu mungkin kedengaran mustahil jika anda hidup bergantung dengan gaji atau dibebani banyak hutang.
Namun, jika anda berada dalam mana-mana situasi itu, adalah lebih penting untuk membina jaringan keselamatan kewangan yang boleh membantu anda ketika menghadapi krisis.
"Dana kecemasan membolehkan anda mengelakkan hutang," kata Jaime Eckels, perancang kewangan bertauliah di Plante Moran Financial Advisors.
Mulakan dengan sasaran kecil
Rachel Lawrence, ketua penasihat dan perancang di Monarch Money, sebuah aplikasi perancangan kewangan dan bajet, mencadangkan agar anda memulakan dengan sasaran menyimpan AS$1,000 (RM4,128), sebelum beralih ke sasaran tiga ke enam bulan perbelanjaan.
Pendekatan anda mungkin berbeza bergantung pada pendapatan dan bajet, tetapi memulakan dengan sasaran kecil boleh membantu anda membina dana kecemasan tanpa memberi tekanan kewangan.
"Mulakan dengan jumlah kecil, walaupun hanya AS$20 (RM82) daripada gaji anda, jumlah kecil itu akan terkumpul," kata Eckels.
Simpan dalam akaun berasingan
Eckels mengesyorkan agar simpanan dana kecemasan dibuat dalam akaun berasingan daripada akaun simpanan biasa.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar duit diletakkan di akaun simpanan berfaedah tinggi yang menawarkan kadar faedah lebih tinggi berbanding akaun simpanan tradisional.
Jumlah yang perlu disimpan pula bergantung kepada situasi hidup anda.
Bagi profesional tanpa pasangan dan tidak dibebani kewangan besar seperti gadai janji atau kereta, jumlah yang disasarkan mungkin AS$2,000 (RM8,257) hingga AS$3,000 (RM12,385).
Bagi golongan berkeluarga yang mempunyai anak atau pelbagai tanggungan lain, anda disarankan untuk menyimpan sehingga enam bulan perbelanjaan.
Selain itu, pakar mencadangkan agar individu bekerja sendiri mengekalkan dua dana kecemasan — satu untuk menampung bulan pendapatan rendah dan satu lagi untuk kecemasan sebenar.
Untuk membina akaun penampan (buffer account), anda dinasihatkan menyimpan sedikit wang semasa bulan berpendapatan tinggi.
"Anda boleh menyimpan wang tersebut dalam akaun penampan sehingga anda mempunyai dua atau tiga bulan jumlah yang diinginkan.
"Dengan cara ini, apabila anda berdepan kekangan kewangan, anda boleh mengambil sedikit 'portion' daripada akaun penampan tadi," katanya.
Pakar turut mencadangkan untuk menetapkan simpanan automatik sebagai cara mudah untuk membina dana kecemasan.
Menjadualkan simpanan anda daripada penolakan gaji secara automatik (auto-deduction) adalah cara berkesan untuk membina tabiat simpanan tanpa perlu memindahkan wang secara manual.
Manfaatkan keuntungan tak dijangka
Jika bajet terhad dan anda tidak mempunyai banyak ruang untuk menyimpan, Lawrence mencadangkan agar anda menyimpan wang secara windfall.
"Wang yang datang secara tidak dijangka, seperti bayaran balik cukai atau bonus, adalah cara terbaik untuk menyimpan apabila anda terhad dari segi kewangan," kata Lawrence.
Secara umum, Lawrence mencadangkan agar setiap orang menyimpan 10 peritus daripada wang windfall untuk diri mereka sendiri dan selebihnya untuk dana kecemasan.
Andai suatu hari nanti anda akan menghadapi kecemasan, anda tidak perlu rasa bersalah menggunakan dana kecemasan itu.
Sebaliknya, fikirkan tentang bagaimana anda telah mencapai matlamat untuk membina rangkaian keselamatan kewangan untuk diri sendiri. — The Star/ ADRIANA MORGA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
