[VIDEO] Peniaga kek 'petite' di Cyberjaya kesal, tegur pelanggan suka banding harga tanpa faham kos


  • Bisnes
  • Khamis, 22 Jan 2026

Ada pelanggan yang suka mempertikaikan harga walaupun maklumat saiz dan harga sudah dinyatakan secara jelas dalam video promosi. — Threads/ @ayinstrella_

SEORANG peniaga kek meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pelanggan yang gemar meninggalkan komen negatif dengan membanding-bandingkan harga kek tanpa memahami faktor sebenar penetapan harga.

Menerusi satu hantaran di Threads, peniaga yang menggunakan nama akaun @ayinstrella_ menyuarakan rasa kecewa apabila ada pelanggan yang mempertikaikan harga walaupun maklumat saiz dan harga telah dinyatakan dengan jelas dalam video promosi.

Menurutnya, pelanggan seharusnya memahami bahawa harga kek bukan ditentukan berdasarkan saiz semata-mata, sebaliknya melibatkan pelbagai kos lain termasuk bahan, reka bentuk, masa dan tenaga kerja.

BACA LAGI: Ingat nak sokong peniaga jalanan, pelanggan kecewa piza RM19.90 di Shah Alam macam mainan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Alas mana?', peniaga susun nasi lemak atas meja tanpa lapik cetus kebimbangan kebersihan

 

 

"Kadang-kadang tak faham pelanggan jenis yang komen benda tak elok. Terang-terang dekat video ada saiz dengan harga. Saya tak ada selindung-selindung.

“Harga letak bukan sekadar ikut saiz, tapi ikut kos yang lain juga. Kalau datang kedai, tengok kek kecil dan tak puas hati, jangan beli dan jangan tinggalkan komen yang bukan-bukan,” katanya.

Tambah peniaga itu, kebanyakan kek yang dijual adalah bukan kek span dan kek 'petite' bersaiz 4 inci menjadi pilihan utama untuk stok sedia ada.

Dia turut menasihatkan pelanggan supaya membuat anggaran saiz dengan lebih tepat sebelum membeli.

Menggunakan kreativiti tersendiri, @ayinstrella_ yang mengusahakan bakeri The A Desserts menghasilkan pelbagai jenis kek antaranya mini kek dua tingkat yang dijual pada harga berpatutan.

Bouquet cake dalam bentuk jambangan bunga antara menu menarik di The A Desserts. — Threads/ @ayinstrella_

Kek berukuran 4 inci + 2 inci dijual bermula RM70 manakala 5 inci + 3 inci  (RM90 ke atas).

Selain itu, dia turut menjual bouquet cake dengan harga RM55 (saiz 4 inci) dan RM90 (6 inci).

Untuk pelanggan yang berminat, peniaga berkenaan memaklumkan bahawa kek sedia ada boleh dibeli secara walk-in di Street Mall, Cyberjaya.

Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, dengan ramai tampil mempertahankan peniaga dan menyifatkan sikap membanding harga tanpa memahami kos sebagai tidak adil terhadap peniaga kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram