Peniaga kiosk Puchong Permai buntu gerai bawah pencawang kena roboh, harap ada rezeki lain


  • Bisnes
  • Isnin, 19 Jan 2026

Keadaan di tapak gerai perniagaan di Puchong Permai yang dirobohkan baru-baru ini. — Threads/@allaboutiman

SEORANG peniaga makanan meluahkan rasa kecewa dan buntu selepas kiosk perniagaannya di Puchong Permai, Selangor dirobohkan dalam satu operasi yang dijalankan oleh pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di media sosial, peniaga yang menggunakan nama akaun @allaboutiman di Threads berkata, kejadian tersebut berlaku secara tiba-tiba ketika persiapan jualan telah pun siap sepenuhnya.

“Ujian dari ALLAH. Kami sangat-sangat buntu dan tak tahu nak buat apa dah sekarang. Nasi dah masak, kuah sup dan sambal geprek pun semua dah siap. 

"Tiba-tiba pihak MPSJ datang nak buat perobohan ke atas kiosk-kiosk peniaga di sini,” katanya.

BACA LAGI: Kena kompaun berulang kali, peniaga pasar pagi First Garden mohon MBI benarkan operasi

BACA LAGI: Makanan terdedah debu, tindakan peniaga gerai dekat Subang Airport bawa sajian tanpa 'plastic wrap' undang kecaman

 

 

Susulan kejadian itu, peniaga berkenaan turut merayu sokongan orang ramai, khususnya penduduk sekitar Puchong, untuk terus menyokong perniagaannya, AW Nasi Geprek Puchong Permai, yang terkesan akibat perobohan tersebut.

Bagaimanapun, isu itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang awam khususnya pelanggan setia yang sering mengunjungi medan selera itu.

Sebahagian netizen berpendapat kawasan di bawah pencawang elektrik sememangnya tidak dibenarkan untuk sebarang aktiviti perniagaan atas faktor keselamatan.

“Memang sepatutnya kawasan bawah kabel elektrik tak boleh ada apa-apa. Rasanya ramai peniaga dah tahu kena pindah, cuma tak tahu bila perobohan akan dibuat,” ujar seorang pengguna media sosial.

Namun begitu, peniaga kiosk yang terlibat mempertahankan kedudukan gerai mereka dengan menjelaskan bahawa jarak antara kiosk dan kabel elektrik adalah sekitar 10 meter, yang menurut mereka masih dalam jarak selamat serta mematuhi undang-undang.

Dalam pada itu, seorang pelanggan setia yang dikenali sebagai @chaahicam turut meluahkan rasa sedih melihat deretan kedai makanan kegemarannya di kawasan tersebut terjejas.

“Dari kecil makan dekat area Puchong sini, hari ini semua kedai yang I selalu makan dah kena roboh. Lepas ni nak makan apa, nak makan dekat mana?

"Semoga semua peniaga yang terlibat tabah dan dikurniakan rezeki yang lebih besar. I sebagai pelanggan pun sedih,” katanya. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram