Perumahan bertukar ‘lombong bitcoin’, penduduk Sitiawan terkejut terima bil elektrik lebih RM50,000


  • Massa
  • Isnin, 19 Jan 2026

Penyewa didakwa melakukan penyambungan elektrik secara haram, menyebabkan gangguan bekalan elektrik kerap berlaku di kawasan perumahan terlibat. — Threads/ @zaini_zai23

SEBAHAGIAN penduduk di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan, Perak meluahkan kebimbangan apabila kawasan perumahan mereka didakwa menjadi lokasi aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.

Menurut perkongsian yang tular di aplikasi Threads, penduduk mendakwa pelbagai laporan telah dibuat kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada tindakan berkesan diambil.

Keadaan tersebut sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk setempat, khususnya selepas beberapa insiden seperti kabel elektrik terbakar yang dilaporkan berlaku di situ.

BACA LAGI: Peniaga kiosk Puchong Permai buntu gerai bawah pencawang kena roboh, harap ada rezeki lain

BACA LAGI: Kena kompaun berulang kali, peniaga pasar pagi First Garden mohon MBI benarkan operasi

Contoh mesin perlombongan bitcoin secara haram yang dirampas polis di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taman Lagenda, Teluk Intan pada 5 November 2025. — FB Polis Daerah Hilir Perak 

Seorang pengguna Threads, zaini_zai23, mendakwa kawasan perumahan tersebut kini sudah menjadi ‘lubuk bitcoin’ dan mendakwa Tenaga Nasional Berhad (TNB) gagal mengambil tindakan walaupun banyak aduan telah dikemukakan oleh penduduk.

“Kalau rasa diri seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kongsikan hantaran ini. Kami penduduk setempat tak tahu lagi nak lapor kepada siapa.

"Lokasi di Bandar Baru Setia Awan Perdana sudah jadi lubuk bitcoin. TNB langsung tak ambil tindakan walaupun penduduk berkali-kali buat laporan,” katanya dalam satu posting di laman sosial itu.

Difahamkan, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku memandangkan terdapat laporan berita mengenai aduan daripada pemilik rumah yang berdepan tuntutan bayaran elektrik bernilai puluhan ribu ringgit selepas premis mereka digunakan oleh penyewa melakukan aktiviti bitcoin.

 

 

Dalam satu kes, penyewa didakwa melakukan penyambungan elektrik secara haram, menyebabkan gangguan bekalan elektrik kerap berlaku di kawasan perumahan terlibat.

Lebih membimbangkan, pemilik rumah langsung tidak menyedari kegiatan tersebut kerana bil elektrik bulanan yang diterima menunjukkan kadar penggunaan normal.

Namun, selepas penyewa gagal dihubungi selama kira-kira tiga bulan, pemilik rumah yang datang memeriksa kediamannya terkejut apabila mendapati notis tuntutan bil elektrik berjumlah RM51,407 telah dikeluarkan ke atas premis berkenaan, memetik laporan Kosmo!.

Penduduk kini menggesa pihak berkuasa, termasuk TNB dan agensi penguatkuasaan berkaitan, supaya menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sebelum keadaan menjadi lebih serius serta terus mengancam keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram