Hampir muflis di puncak kejayaan, 5 pengajaran daripada kejatuhan jenama Rizman Ruzaini


  • Bisnes
  • Rabu, 21 Jan 2026

Rizman (empat dari kanan) dan Ruzaini (empat dari kiri) menempa nama yang cukup disegani dalam industri fesyen tempatan.— Rizman Ruzaini

SEBELUM ini, kecoh di media social apabila pereka fesyen popular, Rizman Ruzaini diperintahkan Mahkamah Tinggi untuk membayar RM1.3 juta kepada suami aktres Datin Intan Najuwa selepas pihak tersebut berjaya dalam saman berkaitan tuntutan bayaran semula.

Keputusan mahkamah itu sekali gus membuka mata umum bahawa jenama yang gah sekali pun berdepan masalah kewangan di sebalik tabir popularitinya.

Memetik sesi Apa Cerita? Podcast, pereka Rizman Nordin mendedahkan keadaan sebenar perniagaan mereka, termasuk pengakuan bahawa pada saat jenama itu berada di kemuncak kejayaan, syarikat sebenarnya berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.

BACA LAGI: Guru di Selangor paling ramai terperangkap hutang, rekod kadar bankrap paling tinggi

BACA LAGI: Skuad Olimpik akan sarung baju rekaan Rizman Ruzaini

Pensyarah Kanan UTHM, Dr Zul Ariffin Maarof yang gemar berkongsi ilmu tentang bisnes online menerusi satu posting di Facebook berkongsi lima pengajaran penting yang boleh dirumuskan daripada pengalaman getir tersebut.

1. Saat paling gah selalunya paling getir

Detik paling sukar yang dilalui Rizman Ruzaini berlaku ketika jenama itu sedang menikmati pencapaian besar, termasuk penglibatan dengan Sukan Olimpik.

Pada ketika masyarakat memandang tinggi kejayaan mereka, pasukan di belakang tabir sedang berdepan tekanan kewangan yang hebat.

Lebih ironik, Rizman ketika itu terpaksa naik ke pentas menerima anugerah besar seperti Fashion Business Leader dan Designer of the Year, walaupun syarikat berada dalam keadaan sangat kritikal.

“Ketika Olimpik itulah masa paling ‘down’ untuk kami, termasuk seluruh pasukan,” katanya.

2. Pertumbuhan terlalu pantas boleh menjadi perangkap

Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan Rizman Ruzaini meningkat hampir lima kali ganda, khususnya dalam segmen pakaian sedia dipakai (ready-to-wear).

Kejayaan itu mendorong syarikat meningkatkan pengeluaran secara agresif daripada sekitar RM7 hingga RM8 juta kepada sasaran hampir RM25 juta.

Namun, keputusan itu dibuat tanpa penilaian menyeluruh terhadap keupayaan pasaran. Pada masa sama, kos operasi meningkat selepas berpindah ke lokasi yang lebih mahal.

Apabila pasaran mula perlahan selepas PKP, syarikat berdepan lebihan stok, kos tetap yang tinggi dan aliran tunai yang semakin tertekan.

3. Masalah sebenar bukan sekadar kekurangan modal

Rizman mengakui bahawa ramai pihak berminat untuk melabur dalam syarikat itu kerana kekuatan jenama yang dimiliki. Namun, beliau akhirnya sedar bahawa krisis yang dihadapi bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan dana.

Ruzaini Wan Jami (kiri) dan Rizman mencipta busana buat selebriti antarabangsa seperti Naomi (kanan).

Sebaliknya, masalah utama ialah keputusan besar yang dibuat tanpa asas pengetahuan dan struktur perniagaan yang kukuh. Tanpa perubahan cara berfikir dan sistem yang betul, sebarang pelaburan berisiko mengulangi kesilapan sama.

“Orang yang nak melabur memang ramai, tetapi yang paling penting adalah ilmu,” katanya.

4. Harga paling mahal adalah manusia

Bahagian paling menyakitkan sepanjang krisis itu, menurut Rizman, bukanlah kerugian kewangan, tetapi keputusan untuk memberhentikan hampir separuh daripada lebih 100 orang kakitangan.

Sebahagian daripada mereka telah berkhidmat selama 18 hingga 20 tahun.

“Ia benar-benar menghancurkan hati saya,” katanya, sambil mengibaratkan syarikat sebagai sebuah kapal besar yang terpaksa mengurangkan penumpang bagi mengelakkan ia karam.

5. Kebangkitan bermula dengan kejujuran

Rizman berkata, dua perkara menjadi kekuatan utama untuk bangkit semula iaitu sokongan keluarga dan kejujuran. Satu momen menyentuh perasaan apabila anak-anaknya berlari mendapatkan mereka di atas pentas menjadi peringatan mengapa perjuangan itu perlu diteruskan.

Selain itu, keterbukaan untuk berkongsi realiti sebenar syarikat tanpa menutup kelemahan dan kesilapan akhirnya membuka jalan kepada pertemuan dengan rakan kongsi yang tepat.

Rizman Ruzaini menjadi inspirasi kepada graduan seni reka fesyen tempatan. — Gambar hiasan

“Penyelamat datang bukan kerana kami kelihatan kuat, tetapi kerana kami berani mengaku bahawa kami sedang rapuh,” katanya.

Kisah Rizman Ruzaini menjadi peringatan bahawa kejayaan dalam perniagaan jarang bergerak secara linear. Jenama yang kelihatan kukuh di luar juga boleh berada di ambang kejatuhan.

Perbezaannya terletak pada kesediaan untuk belajar, berubah dan membina semula dengan lebih berdisiplin.

Ramai usahawan menganggap kegagalan berpunca daripada kekurangan modal, sedangkan hakikatnya ramai tumbang kerana gagal memahami sistem, aliran tunai dan skala sebenar perniagaan.

Seiring perubahan landskap perniagaan, semakin ramai usahawan kini memilih pendekatan lebih terkawal, bermula kecil, menguji pasaran dan berkembang secara berperingkat demi memastikan asas perniagaan yang lebih mampan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram