SEBUAH video tular di media sosial mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna apabila memaparkan cara penyediaan nasi lemak yang didakwa tidak bersih oleh seorang peniaga.
Menerusi rakaman yang dikongsikan di Facebook Reels, kelihatan seorang pekerja menyenduk nasi lemak dan meletakkannya terus di atas permukaan meja tanpa sebarang alas.
Proses penyediaan itu diteruskan dengan meletakkan sambal dan telur rebus di atas nasi berkenaan.
BACA LAGI: Video AI bantu 'convert sales', kini jadi strategi pemasaran 'affiliate' peniaga online
BACA LAGI: 'Ada gerai kosong, peniaga hantu', DBKL perlu 'reset' pusat penjaja di Kepong, Desa Tun Razak
Lebih mengundang reaksi negatif, tiada sebarang alat penutup makanan seperti tudung saji digunakan bagi menutup nasi lemak yang terdedah itu daripada dihurungi lalat dan serangga lain.
Menerusi video berkenaan lagi, dapat dilihat, nasi yang telah siap disediakan itu kemudiannya diangkat menggunakan alat seperti spatula sebelum dimasukkan ke dalam daun pisang dan kertas pembungkus nasi lemak.
Pengguna media sosial meluahkan rasa loya dan kurang senang dengan kaedah pengendalian makanan tersebut, terutama kerana meja yang sama turut digunakan untuk meletakkan pelbagai perkakas memasak lain seperti besen, bakul dan plastik.
"Main letak atas meja macam tu saja ke weh? Alas mana? Memang tak lapik plastik atau kertas apa-apa ke?" komen @khairahanapi.
Rata-rata netizen berpandangan bahawa amalan berkenaan tidak menepati standard kebersihan makanan, apatah lagi nasi lemak merupakan makanan cepat basi kerana menggunakan santan dan timun.
Difahamkan, peniaga yang terlibat beroperasi di sekitar Subang Jaya berdasarkan maklumat yang disertakan bersama hantaran video terbabit.
Isu itu sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai tahap kebersihan dan pematuhan pengendalian makanan oleh peniaga makanan terutama warga asing yang mengusahakan gerai jalanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
