Guru di Selangor paling ramai terperangkap hutang, rekod kadar bankrap paling tinggi


  • Bisnes
  • Selasa, 20 Jan 2026

Individu berpendapatan tetap seperti guru lazimnya lebih mudah diluluskan pinjaman, namun mereka berdepan risiko kewangan yang lebih besar. — Gambar hiasan/ Freepik

SELANGOR mencatatkan kadar kebankrapan tertinggi di negara ini, dengan sebahagian besar kes melibatkan penjawat awam, khususnya guru, menurut data Jabatan Insolvensi Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ishak Bakri berkata, corak tersebut berpunca daripada liabiliti pinjaman peribadi yang tinggi, sekali gus menunjukkan bahawa pekerja bergaji tetap lebih terdedah kepada risiko kebankrapan.

Dapatan itu disokong oleh data peringkat negeri jabatan berkenaan serta program libat urus literasi kewangan yang dijalankan.

BACA LAGI: Usahawan luar bandar berisiko terjejas jika harga kurier dinaikkan — DPMM

BACA LAGI: Kena kompaun berulang kali, peniaga pasar pagi First Garden mohon MBI benarkan operasi

“Individu berpendapatan tetap seperti guru lazimnya lebih mudah diluluskan pinjaman, namun mereka berdepan risiko kewangan yang lebih besar sekiranya tidak mengurus kewangan secara berhemah,” katanya selepas merasmikan pelancaran program literasi kewangan di Politeknik Merlimau, Melaka.

Beliau menambah, kestabilan pendapatan yang membolehkan pinjaman diluluskan itu boleh membawa kepada kesukaran kewangan berpanjangan apabila komitmen hutang semakin meningkat.

Ishak turut memaklumkan seramai 200,000 individu berjaya dilepaskan daripada status bankrap tahun lalu, melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerajaan.

Menurutnya, sistem insolvensi negara kini melalui perubahan asas dengan memberi penekanan kepada kebajikan dan pemulihan, berbanding pendekatan hukuman, selaras dengan dasar peluang kedua kerajaan.

“Pindaan Akta Insolvensi pada tahun 2023 memberi kuasa kepada ketua pengarah untuk meluluskan pelepasan bankrap tanpa perintah mahkamah, tertakluk kepada pemohon memenuhi kriteria tertentu di bawah dasar ini,” jelasnya.

Kelayakan semasa merangkumi individu berusia lebih 70 tahun, mereka yang berada dalam tempoh kebankrapan yang panjang serta individu yang disahkan menghidap masalah kesihatan mental.

“Malaysia merupakan antara negara perintis yang mengiktiraf kesihatan mental sebagai alasan untuk pelepasan bankrap. Pensijilan perubatan secara sulit boleh membawa kepada pelepasan serta-merta,” katanya.

Tambah beliau, jabatan itu juga akan memperkenalkan kriteria pelepasan pantas baharu bagi ibu tunggal, mangsa penipuan kewangan serta peminjam mikro. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram