KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) telah memuktamadkan Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang akan dikuatkuasakan di semua sekolah di seluruh negara bermula minggu depan, seiring pembukaan semula sesi persekolahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelaksanaan dasar itu melibatkan semua pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan murid, termasuk pihak sekolah, ibu bapa, komuniti serta agensi penguatkuasaan.
"Kami telah memuktamadkan Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang akan dilaksanakan di semua sekolah dan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam memastikan keselamatan pelajar," katanya dalam Perutusan Tahun Baharu pada Jumaat.
BACA LAGI : Sumbangan SARA RM100 untuk warganegara dewasa dikredit 9 Februari
BACA LAGI : MINDEF arah ATM ambil tindakan tegas, siasat dakwaan aktiviti tak bermoral di kem tentera
Dalam pada itu, Fadhlina berkata audit keselamatan pelajar dan asrama sekolah di seluruh negara yang dijalankan oleh Jemaah Nazir Sekolah tahun lalu ke atas 850 sekolah mendapati hanya 28.94 peratus sekolah mempunyai sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi sepenuhnya.
"Jika hanya 28 peratus sistem CCTV beroperasi, bagaimana kita hendak memberi keyakinan kepada masyarakat dan meyakinkan ibu bapa bahawa sekolah adalah tempat yang selamat untuk anak-anak mereka?" katanya.
Menurut beliau, dapatan audit berkenaan bukan sekadar angka dan statistik, sebaliknya menjadi pelan tindakan penting kementerian bagi penambahbaikan keselamatan sekolah pada tahun 2026.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan sebanyak 333 unit CCTV baharu akan dipasang di sekolah terpilih pada tahun ini, dengan penekanan bukan sahaja kepada pemasangan, malah penyelenggaraan berterusan bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi dengan berkesan.
"Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah telah diarahkan supaya memastikan semua sistem CCTV berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa KPM terbuka untuk bekerjasama dengan sektor swasta serta kumpulan komuniti bagi menyokong usaha penyelenggaraan dan memperkukuh aspek keselamatan di sekolah. — The Star/JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
