Usahawan F&B kongsi realiti persaingan bisnes, nasihat tak perlu 'perang' harga demi tarik pelanggan


  • Bisnes
  • Khamis, 08 Jan 2026

Persaingan dalam perniagaan memang tak dapat dielakkan, namun peniaga harus menjaga kualiti agar sentiasa konsisten. — Gambar hiasan/ Threads @pokwan

SEORANG usahawan makanan dan minuman berkongsi pengalamannya mengenai realiti persaingan dalam dunia perniagaan, khususnya dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Menerusi satu perkongsian di Threads, usahawan terbabit dikenali sebagai @pokwan, berpandangan bahawa strategi menurunkan harga secara agresif untuk menarik pelanggan bukanlah jalan terbaik untuk kelangsungan perniagaan.

Dia yang mengusahakan gerai Rotbar Kitchen di Medan Selera Pandan Indah, Kuala Lumpur berpendapat, tindakan menjual makanan pada harga terlalu murah demi menarik jumlah pelanggan yang ramai berisiko menyebabkan peniaga gagal menampung kos sebenar operasi.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Alas mana?', peniaga susun nasi lemak atas meja tanpa lapik cetus kebimbangan kebersihan

BACA LAGI: 'Ada gerai kosong, peniaga hantu', DBKL perlu 'reset' pusat penjaja di Kepong, Desa Tun Razak

 

“Nampak member sebelah bermati-matian turunkan harga semata-mata nak curi crowd orang ramai. Jujur cakap, saya bukan marah, tapi lebih kepada rasa kasihan,” katanya.

Dia menjelaskan ramai peniaga baharu terlalu menumpukan kepada konsep jualan berasaskan kuantiti tinggi tanpa mengambil kira kos tersembunyi seperti keletihan fizikal, penggunaan gas, serta kos penyelenggaraan dan kehausan peralatan dapur.

“Ramai ingat volume tinggi itu kunci kejayaan. Hakikatnya, bila sampai hujung bulan dan buat kira-kira, rupanya sekadar pusing modal. Penat ada, keuntungan tak nampak,” jelasnya.

Tambahnya, perniagaan F&B bukanlah satu perlumbaan pecut, sebaliknya memerlukan ketahanan jangka panjang.

“F&B ni bukan lumba lari pecut, ini maraton. Siapa yang mampu kekalkan kualiti dan urus aliran tunai dengan baik, dialah yang akan bertahan. Biar perlahan asalkan konsisten,” ujarnya.

Di ruangan komen, ramai pengguna Threads dipercayai pelanggan kedainya memberikan sokongan agar dia terus konsisten menghasilkan makanan yang berkualiti dan sedap pada harga berpatutan.

Dia menegaskan tidak terkesan dengan promosi agresif peniaga lain dan memilih untuk mengekalkan prinsip sendiri.

“Kedai sebelah nak buat promosi besar-besaran, go ahead bro. Saya fokus untuk masak makanan yang sedap dan kekalkan kualiti terbaik,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram