Miliki identiti tersendiri, MPAJ peruntuk hingga RM10 juta naik taraf medan selera lebih 20 tahun


  • Bisnes
  • Selasa, 06 Jan 2026

Medan Selera Taman Melawati antara kemudahan pertama yang dikenal pasti untuk dinaik taraf oleh MPAJ. —  LOW LAY PHON/The Star

MEDAN selera di Ampang Jaya, Selangor, dijadualkan menjalani kerja naik taraf dan pembaikan yang amat diperlukan pada tahun ini.

Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memperuntukkan sehingga RM10 juta dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi menambah baik infrastruktur serta meningkatkan tahap kebersihan dan keselamatan di kemudahan tersebut.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, langkah itu tepat pada masanya memandangkan kebanyakan medan selera di kawasan perbandaran itu dibina lebih 20 tahun lalu dan memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia terus berfungsi.

BACA LAGI: Video AI bantu 'convert sales', kini jadi strategi pemasaran 'affiliate' peniaga online

BACA LAGI: 'Ada gerai kosong, peniaga hantu', DBKL perlu 'reset' pusat penjaja di Kepong, Desa Tun Razak

To visit Taman Melawati food court that will be upgraded. —LOW LAY PHON/The Star

Medan Selera Taman Melawati masih menarik kunjungan pelanggan. —  LOW LAY PHON/The Star

Walaupun mengakui bahawa premis berkenaan mungkin tidak lagi menjana pulangan kewangan yang tinggi dalam landskap perniagaan yang semakin berubah, Hasrolnizam menegaskan bahawa kepentingan sosial kemudahan tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berpendapat, medan selera itu masih diperlukan walaupun mengalami persaingan daripada kiosk, trak makanan, medan selera di pusat beli-belah serta perkhidmatan penghantaran makanan.

“Ramai dalam kalangan masyarakat masih bergantung kepada medan selera ini yang mempunyai identiti tersendiri serta berfungsi sebagai tempat makan mampu milik dan ruang pertemuan komuniti.

“Kami tidak mahu membiarkan medan selera ini lenyap.

“Ia amat diperlukan, terutamanya oleh golongan berpendapatan rendah, kerana menyediakan hidangan seimbang dan tempat untuk orang ramai berkumpul,” katanya kepada StarMetro.

Hasrolnizam berkata, pihaknya tidak merancang pembangunan semula secara besar-besaran, sebaliknya akan melaksanakan kerja naik taraf dan penambahbaikan secara bersasar mengikut keperluan bagi memastikan kemudahan itu kekal bersih dan selamat untuk pengunjung.

Menurut beliau, kerja naik taraf berkenaan akan dibiayai menggunakan dana MPAJ hasil pengurusan bajet yang berkesan sejak tiga tahun lalu, dengan anggaran peruntukan antara RM5 juta hingga RM10 juta, termasuk bagi penambahbaikan dewan komuniti.

Kemudahan pertama yang dikenal pasti untuk dinaik taraf ialah Medan Selera Taman Melawati.

Hasrolnizam berkata, MPAJ tidak boleh menutup medan selera tersebut kerana sedar ia menjadi punca pendapatan kepada ramai peniaga di situ.

“Kami menyedari bahawa ia masih menarik kehadiran orang ramai dan menyediakan sumber rezeki kepada peniaga di Ampang Jaya,” katanya sambil menambah bahawa MPAJ menguruskan sebanyak 15 medan selera.

Medan selera lain yang turut dikenal pasti untuk dinaik taraf terletak di sepanjang Jalan Kolam Air Lama, serta di Lembah Jaya, Pandan Indah dan Teratai.

Tinjauan StarMetro ke Medan Selera Taman Melawati mendapati keadaan premis itu kelihatan uzur, dengan lantai yang lusuh, cat yang pudar serta kelengkapan yang telah berusia.

Beberapa gerai menunjukkan tanda-tanda kerosakan, manakala pengudaraan yang terhad dan pencahayaan yang kurang memuaskan menjadikan ruang itu terasa sempit. — The Star / SHALINI RAVINDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram