SEORANG penunggang motosikal wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 67.4, Lebuhraya Senai–Desaru, Johor Bahru pada Rabu.
Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian itu pukul 10.40 malam, melibatkan dua kenderaan dan satu kematian.
Menurutnya, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 35 tahun dan sebuah motosikal Honda Beat yang ditunggang seorang wanita tempatan berusia 20 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Patah balik ambil barang tercicir cetus kemalangan 5 penunggang di Tambak Johor
BACA LAGI: Suami Neera Azizi digantung tugas angkara ‘gender reveal' di Tanah Suci

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, pemandu kereta Toyota Vios pula mengalami kecederaan sakit di bahagian dada dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi.
“Mayat mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan lanjut,” tambahnya.
Yusof turut memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
“Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada lima tahun,” jelasnya.
Sehubungan itu, Polis Daerah Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya demi keselamatan semua pengguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
