[VIDEO] Patah balik ambil barang tercicir cetus kemalangan 5 penunggang di Tambak Johor


  • Kes
  • Selasa, 06 Jan 2026

Tangkap layar menunjukkan kemalangan melibatkan lima buah motosikal di Jalan Tambak Johor.

TINDAKAN seorang penunggang motosikal yang dipercayai cuba membuat pusingan U untuk mengambil barang peribadinya yang tercicir mengundang padah apabila mengakibatkan kemalangan melibatkan lima motosikal pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi di Jalan Tambak Johor, Johor Bahru menghala ke Singapura dan rakaman insiden berkenaan tular di media sosial.

Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan mengesan penularan video berkenaan sekitar pukul 10.15 pagi pada hari sama.

BACA LAGI: Suami Neera Azizi digantung tugas angkara ‘gender reveal' di Tanah Suci

BACA LAGI: Ukir nama di pentas dunia, Dr. Hartini cipta sejarah wanita Malaysia pertama dilantik Presiden G100

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak polis berhubung kejadian tersebut.

“Kemalangan tersebut melibatkan lima penunggang motosikal lelaki tempatan yang semuanya dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.

“Ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik, namun lalu lintas agak sibuk.

"Siasatan awal mendapati salah seorang penunggang berhenti secara tiba-tiba dan membuat pusingan U untuk mengambil barang peribadi yang terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, empat buah motosikal lain yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal berkenaan.

Menurutnya, kesemua mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi mendapatkan rawatan.

Tambah Raub, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Trafik IPD Johor Bahru Selatan atau Penolong Pegawai Penyiasat, Shahrol Ixuan Salleh di talian 013-756 1919 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram