ISU peniaga makanan yang gagal ‘rolling’ modal dan mencatat jualan rendah kini menerusi penyertaan di festival makanan semakin hangat diperkatakan di media sosial.
Ramai menyalahkan lambakan penganjuran festival makanan yang menghidangkan gerai sama sudah membosankan pengguna.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai @anisain mendakwa peniaga terpaksa meletakkan harga jualan yang tinggi disebabkan kos tapak yang mahal.
BACA LAGI: 'Kami bukan pemilik bisnes', pekerja 'makan gaji' terkejut terima notis bayaran cukai CP500
BACA LAGI: Tidak perlu jadi paling murah, strategi jualan 'harga runtuh' boleh bunuh perniagaan

Festival makanan pada asalnya berfungsi sebagai penghubung antara peniaga dari jauh dengan komuniti setempat. — Gambar hiasan
Menurutnya, situasi menjadi lebih teruk apabila terlalu banyak penganjur menganjurkan pelbagai acara festival makanan dengan nama berbeza hampir setiap minggu.
“Sekarang ini terlalu banyak penganjur. Macam-macam nama festival makanan wujud. Yang sakit siapa? Peniaga. Yang untung? Organizer,” katanya.
Dia mencadangkan peniaga supaya mengambil tindakan tegas dengan memboikot penyertaan mereka dalam festival makanan dan kembali berniaga di lokasi asal.
“Kalau tak ada peniaga yang sertai, food fest akan gagal. Bila gagal, jumlah festival makanan akan berkurang. Apabila jadi terhad, barulah orang rasa teruja nak pergi.
"Tengok sekarang ini, tiap-tiap minggu ada event, lama-lama jadi membosankan,” tambahnya.
Pandangan itu turut dipersetujui oleh pengguna lain, @happycamelhijazi, yang berpendapat kekerapan penganjuran festival makanan menyebabkan kehadiran pengunjung berpecah dan tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak.
“Bila dah kerap sangat buat food fest, kedai-kedai pun tak ramai orang, yang di food fest pun sama.
"Penduduk bukan ramai mana pun. Orang hanya lalu-lalang, tengok-tengok dan cuba sampel saja,” katanya sambil mencadangkan pasar malam setempat dikekalkan sebagai alternatif lebih bersesuaian.
Sementara itu, @abdiljafni pula berkata, festival makanan pada asalnya berfungsi sebagai penghubung antara peniaga dari jauh dengan komuniti setempat.
Bagaimanapun tujuan itu semakin hilang apabila acara tersebut dianjurkan terlalu kerap.
“Dulu orang teruja sebab jarang. Sekarang setiap minggu ada festival makanan, malah ada dua pada hujung minggu yang sama.
"Kedai pun sama berulang-ulang, tak ada benda baharu. Penganjur untung sebab trafik, tapi peniaga kecil yang harapkan jualan sebenar yang paling terkesan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @faezal.ejay, turut menyuarakan sentimen sama dan menyeru vendor supaya bersatu memboikot festival makanan.
“Penganjur makin kaya, vendor yang tanggung kerugian. Vendor kena bertindak,” katanya.
Isu itu mencetuskan perdebatan lebih luas mengenai kelestarian model festival makanan di Malaysia, dengan ramai peniaga dan pengguna mempersoalkan sama ada penganjuran yang terlalu kerap masih relevan atau sekadar membebankan peniaga kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
